Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kapal Kargo Dihentam 'Objek Tidak Dikenali' Di Selat Hormuz

selat hormuz
Gambar: AFP

Kapal Kargo Dihentam 'Objek Tidak Dikenali' Di Selat Hormuz

Sebuah kapal kargo dilaporkan terkena hentaman 'objek tidak dikenali' ketika berada berhampiran pantai Oman pada Khamis, menyebabkan kerosakan pada bahagian anjung kawalan kapal (bridge). Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO), pihaknya menerima laporan bahawa kapal berkenaan telah terkena objek tersebut di bahagian kanan kapal (starboard side) kira-kira 7.5 batu nautika di tenggara Dahit, Oman.

Nakhoda kapal memaklumkan bahawa semua anak kapal berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan direkodkan. Selain itu, insiden berkenaan juga tidak menyebabkan sebarang pencemaran atau kerosakan terhadap alam sekitar.

UKMTO berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar serangan tersebut serta jenis objek yang menghentam kapal berkenaan.

Sehubungan itu, kapal-kapal yang melalui kawasan tersebut dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa maritim.

Laluan perkapalan Selat Hormuz kembali pulih

Insiden itu berlaku ketika pergerakan kapal di Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas tempoh ketegangan keselamatan yang menjejaskan laluan perkapalan antarabangsa.

Sebelum ini, International Maritime Organization (IMO) bersama kerajaan Oman melancarkan satu koridor keselamatan baharu bagi memudahkan pergerakan kapal dan pelaut yang terkandas melalui laluan strategik tersebut.

Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia kerana menjadi pintu masuk utama bagi penghantaran minyak dan gas dari rantau Teluk ke pasaran antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan tentera laut Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) sekali lagi menegaskan bahawa hanya laluan yang diumumkan oleh pihak berkuasa Iran dibenarkan digunakan oleh kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz.