Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kapal Selam AS Tenggelamkan Kapal Perang Iran Di Lautan Hindi

kapal selam as
Kredit: AFP

Sebuah kapal selam Amerika Syarikat (AS) didakwa telah menembak dan menenggelamkan kapal perang Iran menggunakan torpedo di Lautan Hindi, lapor AFP.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth pada Rabu.

"Sebuah kapal selam Amerika menenggelamkan kapal perang Iran yang menyangka ia selamat ketika berada di perairan antarabangsa. Sebaliknya, kapal tersebut ditenggelamkan oleh torpedo,” katanya.

Pihak berkuasa Sri Lanka telah menyelamatkan seramai 32 orang anak kapal frigat IRIS Dena, manakala 148 lagi masih hilang.

Menurutnya, harapan untuk menemui selebihnya tipis.

Hegseth dalam kenyataannya menggelar serangan tersebut sebagai ‘kematian senyap’ dengan mengumumkan insiden tersebut sebagai serangan pertama AS menenggelamkan kapal perang musuh menggunakan torpedo selepas Perang Dunia Kedua.

“Seperti dalam peperangan itu, kami berperang untuk menang,” ujarnya.

Dalam kenyataan Pentagon, satu daripada matlamat utama perang AS-Israel terhadap Iran yang dilancarkan pada Sabtu lalu, ialah untuk menghapuskan tentera laut negara berkenaan.

Menteri Luar Sri Lanka, Vijitha Herath memaklumkan kepada parlimen bahawa warga Iran yang diselamatkan telah dibawa ke hospital besar di selatan pulau tersebut.

Sementara itu, dua kapal tentera laut dan sebuah pesawat telah digerakkan bagi operasi mencari yang lain.

Terdahulu, kapal frigat berkenaan telah membuat isyarat kecemasan pada waktu Subuh.

Beliau berkata, kapal penyelamat tiba di lokasi yang berada kira-kira 40 kilometer dari arah Selatan pelabuhan Galle.

Kapal frigat itu telah tenggalam sepenuhnya dan hanya kesan minyak ditinggalkan ketika bot penyelamat tentera laut tiba.

“Kami meneruskan operasi mencari, namun setakat ini belum mengetahui nasib baki anak kapal,” maklum seorang pegawai tentera Sri Lanka.

Sumber:AFP