Kawasan hutan seluas kira-kira 17 hektar berhampiran jirat Cina di Bukit Pelali dan Jalan Bypass Sebana Cove-Punggai di sini yang terbakar sejak kelmarin mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 71, iaitu pada tahap sederhana.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Tinggi merangkap Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus berkata, bacaan tersebut direkodkan setakat pukul 4 petang semalam.
Katanya, pihak berkuasa akan terus memantau kawasan terjejas dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kebakaran dapat dikawal serta tidak menjejaskan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya berhampiran.
“Tiada kemalangan jiwa atau mangsa yang dipindahkan dilaporkan. Kawasan kebakaran itu berlaku kira-kira 20 kilometer dari Bandar Penawar menghala ke Sungai Rengit melalui Jalan Persekutuan berhampiran kawasan perumahan Bukit Pelali,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Miswan, orang ramai khususnya pemilik tanah dan penduduk di kawasan berhampiran perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko kebakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering.
Jelasnya, mereka dinasihatkan supaya tidak menceroboh, memasuki atau menggunakan tanah kerajaan atau tanah milik pihak lain tanpa kebenaran.
“Jangan membersihkan, menebas, menebang pokok, menanam atau mendirikan struktur di tanah bukan milik sendiri tanpa kebenaran.
“Begitu juga, jangan melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering serta membuang puntung rokok, bahan mudah terbakar atau sumber api di kawasan tanah lapang dan tumbuhan kering,” katanya.
Beliau berkata, kawasan tanah juga perlu sentiasa dibersihkan, bebas daripada bahan mudah terbakar dan dipantau secara berkala.
Ujarnya, orang ramai perlu segera melaporkan sebarang kejadian asap, api atau aktiviti pembakaran mencurigakan kepada pihak berkuasa serta menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya berlaku kebakaran.
Selain itu, Miswan berkata, kerjasama orang ramai dengan pihak berkuasa amat diperlukan dalam usaha pemantauan dan pencegahan kebakaran, termasuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan.
Katanya, pemilik tanah dan pihak berkaitan turut disaran memasang papan tanda amaran, tanda sempadan serta pagar yang jelas di kawasan berisiko bagi membantu mengawal pencerobohan tanah.
Menurutnya, pencerobohan tanah kerajaan tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, manakala pembakaran terbuka mempunyai implikasi undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu mencegah kejadian kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut yang mudah terbakar ketika cuaca panas dan kering,” ujarnya.
Terdahulu, portal ini melaporkan kira-kira 12 hektar atau 70 peratus daripada keseluruhan 17 hektar kawasan hutan yang terbakar berjaya dipadamkan setakat tengah hari tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Pegawai Bomba Tinggi II Abd Rahim Abdul Rani dilaporkan berkata, operasi pemadaman di kawasan tanah gambut berkenaan dilakukan tanpa henti sejak kira-kira pukul 5 petang kelmarin.

