PETALING JAYA, 10 Mac (Bernama) — Taktik licik seorang lelaki berlindung di sebalik perniagaan kedai runcitnya untuk menjalankan kegiatan penyimpanan dan pengedaran dadah terbongkar setelah polis menyerbu kedai terbabit di Kampung Sungai Kayu Ara Damansara, malam Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam serbuan itu, polis menemukan 505 gram dadah jenis ganja yang disorok di dalam peti ais di kedai itu sebelum merampas 80 gram lagi dadah jenis sama di dalam peti ais di sebuah rumah terletak berhampiran, setelah dibawa oleh suspek berusia 25 tahun itu.
Katanya, kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM5,500.
“Setelah soal siasat dilakukan, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Kampung Sungai Ara dan menahan tujuh lelaki berusia 19 hingga 25 tahun dan merampas 1,875 gram dadah jenis ganja di dalam sebuah beg galas dianggarkan bernilai RM5,360.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai aktif menjalankan aktiviti mengedar dadah sejak September tahun lepas dan mendapat bekalan dadah daripada negara jiran untuk pasaran Lembah Klang,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya di sini hari ini.
Beliau berkata lima daripada lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka negatif ujian saringan air kencing.
Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari hingga 15 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Nik Ezanee berkata dalam serbuan berasingan yang dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sebuah rumah di Bandar Utama, dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun turut ditahan, disyaki mempunyai kaitan dengan tangkapan awal dilakukan di Kampung Sungai Kayu Ara.
Menurutnya, hasil pemeriksaan polis merampas 1,780 gram dadah disyaki ganja dianggarkan bernilai RM9,000, wang tunai RM35,000 dan sebuah kereta jenis Honda Civic.
“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu positif dadah hasil ujian saringan air kencing dan direman tujuh hari untuk siasatan.
Katanya, siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti kaitan terhadap kesemua tangkapan ini dengan aktiviti pengedaran dadah sekitar Lembah Klang.
Sumber: BERNAMA