Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali yang kembali ke rahmatullah pada pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN), pada usia 100 tahun.
Dalam satu kenyataan, Abdul Hadi menyifatkan Allahyarhamah sebagai tokoh perubatan dan kesihatan yang sangat banyak mencurahkan bakti kepada masyarakat dan negara.
“Sebagai seorang doktor yang pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam, khususnya di Kedah, beliau telah memberikan sumbangan dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan serta kebajikan masyarakat, termasuk dalam bidang kesihatan wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Hadi Awang Zahir Takziah Atas Pemergian Tun Dr. Hasmah

Beliau turut mengenang perjalanan hidup Allahyarhamah memainkan peranan dalam pelbagai usaha kebajikan dan kemasyarakatan di samping menjadi pendamping kepada suaminya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sepanjang perjalanan panjang khidmat beliau kepada negara.
“Sesungguhnya pemergian Almarhumah merupakan satu kehilangan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal solehnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan para solihin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi juga sempat menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir serta keluarganya di samping mendoakan agar mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan.
Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir hari ini dan akan diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan dikebumikan di Pusara Negara Presint 20, Putrajaya.

