Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Keluarga Berdepan Detik Cemas, Sembilan Botol ‘Molotov Cocktail’ Dibaling Ke Rumah
Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka di Taman Bintang, Pantai Remis dibaling sembilan botol bom petrol dalam kejadian semalam, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian oleh seorang lelaki yang menghuni kediaman terbabit.
Difahamkan, sebuah kereta jenis Honda dan sebuah motosikal mengalami kerosakan akibat kebakaran dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu.
Kata Hasbullah, polis mengesyaki tindakan itu dilakukan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along selepas siasatan awal dilakukan.
“Bagaimanapun pengadu menafikan terlibat dengan sindiket berkenaan atau bermusuh dengan pihak lain,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, terdapat tiga suspek yang memakai pelitup muka telah menghampiri rumah mangsa dengan menaiki kereta jenis Toyota Altis berwarna putih dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan sewaktu kejadian.
Kesemua mereka bertindak melemparkan sembilan botol ‘molotov cocktail’ sehingga menyebabkan kebakaran pada bahagian hadapan rumah.
“Kejadian itu disedari bapa pengadu yang kemudiannya menjerit ke arah suspek menyebabkan kesemua mereka segera beredar. Api kebakaran berjaya dipadamkan oleh bapa pengadu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” maklumnya lagi.
Sehubungan itu, Hasbullah memohon orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Amir Hafiz Mohd Rosli di talian 011-24057360 atau Bilik Gerakan IPD Manjung 05-688 6222 bagi membantu siasatan.
BACA : Tertekan Fikir Anak Di Gaza, Wanita Palestin Mengamuk Di WTKL Mohon Maaf
BACA: Derita Komplikasi Penyakit Hati Tahap Akhir, Adik Eileen Perlu Bantuan Jalani Pembedahan Di China
BACA: Polis Tahan Tiga Lelaki Berkelakukan Tidak Senonoh Ketika Larian Antarabangsa
Sumber: Sinar Harian