Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kemarau Berpanjangan, Bali Isytihar Darurat Selama Dua Minggu

Iqbal Yasir
Gambar: Indo Bali News

Kemarau Berpanjangan, Bali Isytihar Darurat Selama Dua Minggu

BALI — Perintah darurat selama dua minggu telah diisytiharkan di Bali susulan kemarau berpanjangan dan kebakaran hutan yang melanda kepulauan Indonesia itu, lapor Kompas.

Pemangku Gabenor Bali, Sang Made Mahendra Jaya berkata, pengisytiharan darurat itu dilaksanakan selepas mengambil kira perkembangan keadaan kemarau melampau di beberapa kawasan, kebakaran hutan dan keadaan tanah yang dipengaruhi cuaca buruk di Bali.

Difahamkan, darurat itu berkuat kuasa sehingga 1 November dan mungkin dilanjutkan atau dipendekkan mengikut keperluan.

Gambar: Indo Bali News

Beliau berkata demikian sewaktu hadir dalam Mesyuarat Koordinasi Pengurusan Darurat Bencana Kemarau, Kebakaran Hutan dan Tanah di Bali bersama Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) pada Khamis lalu.

“Pengisytiharan darurat di Bali telah dibincangkan dengan badan serantau dan diselaraskan dengan BNPB. Untuk melindungi masyarakat dan meningkatkan kesiapsiagaan serta meningkatkan akses, kami bersetuju untuk melaksanakan perintah ini selama 14 hari,” katanya kepada wartawan.

Tambah Mahendran, langkah ini bertujuan untuk memberi ruang kepada sokongan pengurusan bencana, mempercepatkan usaha memadam kebakaran serta bantuan dapat disalurkan ke kawasan yang berdepan krisis air.

BACA JUGA: Indonesia Nafi Tuduhan Jerebu Rentas Sempadan Melintasi Malaysia

Sementara itu, Ketua BNPB, Lt. Jeneral TNI Suharyanto berkata penentuan pelaksanaan darurat itu adalah keputusan kerajaan wilayah dan mendapat sokongan daripada kerajaan pusat.

Jelas Suharyanto, beberapa kawasan di Indonesia dilanda fenomena El Nino dengan kemarau berpanjangan.

“Selain itu, fenomena ini menyebabkan kejadian kebakaran hutan. Terdapat enam wilayah yang dilaporkan mengalami kebakaran hutan termasuk Jambi, Riau, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

“Di Bali, beberapa kawasan dilaporkan tidak menerima taburan hujan sejak sebulan atau lebih. Kemarau berpanjangan juga menyebabkan kebakaran hutan dan lahan di Bali. Ia termasuk kebakaran di TPA Sarbagita Suwung di Kota Denpasar dan TPA Mandung di Kabupaten Tabanan,” katanya.

Gambar: Jakarta Post

Hasil pemantauan Pusat Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Wilayah III Denpasar, sebahagian kawasan di Bali utara dan Bali timur tidak menerima hujan sehingga 90 hari.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Badan Penanggulangan Bencana Wilayah (BPBD) Bali, I Made Rentin berkata, pemimpin kepulauan Bali itu telah mengemukakan dua permohonan kepada kerajaan pusat.

Permohonan tersebut adalah dalam bentuk bantuan peralatan bagi pengurusan kemarau dan pelaksanaan teknologi pengubahsuaian cuaca (TMC) di Bali.

Sumber: Kompas, The Jakarta Post