Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenapa Syarikat AI Borong Jutaan Buku Lama? Rupanya Bukan Untuk Dibaca, Tetapi Diimbas Sebelum Dimusnahkan

BUKU
Gambar hiasan.

Kenapa Syarikat AI Borong Jutaan Buku Lama? Rupanya Bukan Untuk Dibaca, Tetapi Diimbas Sebelum Dimusnahkan

Ketika ramai menyangka internet sudah mencukupi untuk melatih kecerdasan buatan (AI), hakikatnya syarikat-syarikat AI kini dilaporkan sanggup membeli jutaan buku fizikal dari seluruh dunia.

Lebih mengejutkan, sebahagian besar buku itu bukan untuk dijual semula atau disimpan, sebaliknya diimbas sebelum dimusnahkan.

TRT World melaporkan, langkah itu dilakukan bagi mendapatkan kandungan tulisan manusia yang berkualiti tinggi untuk melatih model AI, ketika internet semakin dipenuhi kandungan yang dijana AI atau dikenali sebagai "AI slop".

Kandungan AI slop merujuk kepada teks yang dihasilkan secara automatik oleh AI dalam jumlah besar, namun sering dianggap kurang berkualiti dan berpotensi menjejaskan ketepatan latihan model AI generasi baharu.

Kenapa buku lama menjadi buruan?

Menurut laporan itu, buku yang diterbitkan sebelum kemunculan AI generatif sekitar 2022 dan 2023 dianggap lebih bernilai kerana kandungannya ditulis sepenuhnya oleh manusia tanpa dipengaruhi teknologi AI.

Justeru, syarikat AI dilaporkan menggunakan orang tengah bagi membeli buku secara pukal daripada kedai buku terpakai, perpustakaan serta pembekal buku tanpa mendedahkan identiti pelanggan sebenar.

Laporan 404 Media sebelum ini turut mendapati terdapat syarikat yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan ratusan ribu sehingga jutaan naskhah buku untuk pelanggan dalam industri AI.

Buku dipotong sebelum diimbas

Berbeza dengan proses pengimbasan biasa, sebahagian syarikat menggunakan kaedah destructive scanning, iaitu tulang belakang buku dipotong sebelum setiap helaian diimbas menggunakan mesin berkelajuan tinggi.

Kaedah itu jauh lebih pantas dan murah berbanding pengimbasan tanpa merosakkan buku.

Bagaimanapun, proses tersebut menyebabkan buku berkenaan tidak lagi boleh digunakan atau dikembalikan ke pasaran.

Jualan buku terpakai meningkat mendadak

Menurut TRT World, permintaan tinggi daripada industri AI turut memberi kesan kepada pasaran buku terpakai.

Seorang penjual buku yang ditemu bual 404 Media mendakwa jualan mingguannya meningkat daripada sekitar 20 naskhah kepada ratusan naskhah selepas menerima tempahan daripada pembeli yang dipercayai mewakili syarikat AI.

Walaupun menguntungkan, beliau mengakui berasa kurang selesa apabila mengetahui ada buku yang sukar ditemui atau sudah tidak dicetak lagi berakhir dengan dimusnahkan selepas proses pengimbasan.

Pernah cetuskan tindakan undang-undang

Amalan itu bukan perkara baharu.

Sebelum ini, syarikat AI Anthropic didakwa melaksanakan projek dikenali sebagai Project Panama, yang melibatkan proses mengimbas berjuta-juta buku fizikal bagi melatih model AI mereka.

Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat sebelum ini memutuskan bahawa mengimbas buku yang dibeli secara sah untuk tujuan latihan AI boleh dianggap sebagai penggunaan adil (fair use) dalam keadaan tertentu.

Namun, dalam kes berasingan, Anthropic turut diperintahkan membayar penyelesaian bernilai AS$1.5 bilion selepas didapati menggunakan berjuta-juta salinan buku cetak rompak yang melanggar hak cipta penulis dan penerbit.

Selain itu, beberapa syarikat teknologi lain turut berdepan tindakan undang-undang atas dakwaan menggunakan karya berhak cipta bagi melatih model AI masing-masing.

Timbul persoalan tentang warisan ilmu

Perkembangan itu turut mencetuskan perdebatan mengenai aspek etika.

Pengkritik bimbang buku-buku yang jarang ditemui atau sudah tidak lagi diterbitkan mungkin hilang buat selama-lamanya selepas dimusnahkan untuk proses pengimbasan.

Lebih membimbangkan, kandungan buku tersebut akhirnya disimpan dalam pangkalan data persendirian milik syarikat AI yang tidak boleh diakses oleh orang awam.

Walaupun langkah itu berpotensi menghasilkan model AI yang lebih pintar dan tepat, persoalan mengenai pemeliharaan khazanah ilmu serta akses kepada generasi akan datang terus menjadi topik perbincangan dalam era perkembangan kecerdasan buatan.

Intipati
  • Syarikat AI dilaporkan membeli buku lama bagi mendapatkan tulisan manusia berkualiti tinggi.
  • Sebahagian buku dipotong dan diimbas laju sebelum tidak lagi boleh digunakan.
  • Amalan itu mencetuskan kebimbangan terhadap pemeliharaan buku nadir dan akses ilmu awam.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan