Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan akan menikmati pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi tempoh penggunaan mulai September hingga 31 Disember 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu susulan keputusan kerajaan memperluaskan tahap perlindungan subsidi bil elektrik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan.
Kerajaan Perluas Perlindungan Bil Elektrik
Menurut beliau, langkah tersebut diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat ketika ini.

“Sekalung penghargaan khususnya kepada pihak TNB, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah ini diambil dalam kadar segera.
“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa.
“Justeru itu, Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara,” katanya.
Terdahulu, Anwar memberi bayangan positif mengenai hasil mesyuarat khas bagi membincangkan isu kenaikan bil elektrik yang menjadi keresahan sebahagian pengguna sejak kebelakangan ini.
“TNB (Tenaga Nasional Bhd) dah selesai, akan keluarkan kenyataan segera. (Ada) berita baik,” katanya ringkas sambil menunjukkan isyarat ibu jari ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan yang berlangsung kira-kira sejam di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

