Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kereta Kena ‘Double Park’ Hampir Dua Jam, Lelaki Terpaksa Tunggang Motosikal Ke Alor Setar

alor setar
Tangkap layar video Threads

Kereta Kena ‘Double Park’ Hampir Dua Jam, Lelaki Terpaksa Tunggang Motosikal Ke Alor Setar

Tindakan meletakkan kenderaan secara double park tanpa mengambil kira kesusahan orang lain sekali lagi mengundang perhatian ramai selepas seorang lelaki dikatakan terpaksa menunggang motosikal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah gara-gara keretanya tersekat.

Kisah itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @nnurullle, dipercayai saksi kejadian, yang mendakwa lelaki berkenaan tidak dapat mengeluarkan keretanya kerana dihalang sebuah kenderaan lain yang diletakkan secara double park tanpa melepaskan brek tangan.

Menurut perkongsian tersebut, kejadian itu berlaku di kawasan parkir sebuah apartmen dan lelaki terbabit dilaporkan menunggu hampir dua jam dengan harapan pemilik kenderaan tampil mengalihkan kereta.

Malah, lelaki itu difahamkan beberapa kali membunyikan hon bagi menarik perhatian pemilik kenderaan berkenaan, namun usahanya tidak berhasil.

“Memang kesian tengok abang ini. Hampir dua jam dia tunggu bawah sambil tekan hon sebab nak keluar. Menyusahkan orang betul.

“Bayangkan kalau ada urusan kecemasan. Dekat sini pun ada yang kerja syif malam, tak boleh tidur sebab bunyi hon,” tulis @nnurullle.

Disebabkan kesuntukan masa dan perlu segera ke Alor Setar atas urusan penting, lelaki tersebut akhirnya mengambil keputusan meninggalkan kereta dan meneruskan perjalanan dengan motosikal.

Perkongsian itu kemudiannya mendapat perhatian ramai dengan kebanyakan netizen meluahkan rasa geram terhadap sikap segelintir penghuni yang gemar meletakkan kenderaan secara double park tanpa memikirkan kesan kepada orang lain.

Malah, ada yang mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) dipanggil bagi menunda kenderaan yang menghalang laluan supaya tindakan lebih tegas dapat diambil.

Sumber:nnurullle