Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

New Zealand mengesahkan kes pertama virus selesema burung H5N1 selepas seekor burung laut yang ditemui di Pantai Petone, Wellington disahkan dijangkiti virus berbahaya itu.
Menurut laporan RNZ, penemuan tersebut merupakan kes pertama direkodkan di negara berkenaan susulan penularan global H5N1 yang sebelum ini telah menjejaskan banyak negara.
Menteri Biosekuriti New Zealand, Andrew Hoggard, berkata kerajaan sudah bersiap sedia menghadapi ancaman tersebut dengan kerjasama pelbagai agensi bagi melindungi industri ternakan ayam, hidupan liar serta komuniti tempatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Veterinar Kementerian Industri Asas (MPI), Mary van Andel, berkata virus berkenaan berkemungkinan besar akan menjadi endemik di New Zealand sekiranya ia mula menular dalam populasi hidupan liar.
“Kita bercakap mengenai penyakit virus yang menjangkiti burung, dan burung ini bergerak dari kawasan yang diketahui mempunyai jangkitan seperti Antartika. Jadi, kemungkinan besar virus itu akan merebak.
“Apa yang berlaku di negara lain menunjukkan virus ini akhirnya menjadi endemik dan keadaan sama berkemungkinan berlaku di New Zealand,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian di beberapa pulau sub-Antartika, kesan besar terhadap populasi burung hanya mula kelihatan selepas beberapa bulan virus itu dikesan.
Dalam pada itu, Profesor Epidemiologi Penyakit Berjangkit Universiti Massey, Nigel French, berkata spesies hidupan liar yang mempunyai populasi kecil berisiko tinggi mengalami kepupusan sekiranya wabak itu terus merebak.
Katanya, antara spesies yang dibimbangi ialah fairy tern, yang hanya mempunyai populasi kecil di New Zealand.
“Jika virus ini memasuki populasi burung laut yang sangat terancam, ia boleh menyebabkan kepupusan spesies tersebut,” katanya.
Susulan ancaman itu, Jabatan Pemuliharaan (DOC) telah memulakan program vaksinasi terhadap kira-kira 300 ekor burung pembiakan daripada lima spesies paling terancam di negara itu, termasuk kākāpō, takahē, shore plover, black stilt dan orange-fronted parakeet.
French berkata, mamalia marin seperti singa laut turut berisiko dijangkiti, merujuk kepada kejadian di luar negara yang menyaksikan sehingga 90 peratus populasi sesetengah spesies mati akibat wabak berkenaan.
Beliau menjelaskan H5N1 berbeza daripada penyakit haiwan lain seperti penyakit kaki dan mulut kerana virus itu mampu menjangkiti pelbagai spesies haiwan liar dan ternakan.
“Langkah biosekuriti yang baik dapat membantu mengawal penularan, namun agak sukar untuk melindungi sepenuhnya hidupan liar yang hidup bebas,” ujarnya.
Mary van Andel berkata, walaupun virus itu boleh menjangkiti manusia, kes sedemikian masih sangat jarang berlaku dan lazimnya melibatkan individu yang terdedah kepada haiwan dalam jumlah besar.
Beliau turut memberi jaminan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang terhadap keselamatan makanan kerana ayam dan telur masih selamat untuk dimakan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mainland Poultry, John McKay, berkata industri penternakan ayam kini lebih bersedia menghadapi H5N1 selepas pengalaman menangani wabak H7N6 pada 2024 yang memaksa syarikat itu melupuskan kira-kira 200 ekor ayam.
Menurutnya, kerjasama erat antara industri dan kerajaan sejak beberapa tahun lalu membolehkan pelan kesiapsiagaan serta tindak balas dibangunkan lebih awal.
“Buat masa ini, hanya seekor burung liar dikesan dijangkiti di pantai Wellington dan virus itu belum merebak kepada burung lain atau ternakan ayam.
“Ia merupakan satu amaran awal, namun kami bersedia dan akan terus memantau keadaan dengan teliti,” katanya.