Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketahui Apa Sebenarnya "Brain Fog"
Baru-baru ini, tular di platform Threads satu perkongsian seorang wanita yang mendedahkan dirinya mengalami keadaan dikenali sebagai "brain fog" selepas bergelar ibu.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai apabila sejumlah wanita lain turut tampil berkongsi pengalaman serupa.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai apakah sebenarnya brain fog dan mengapa keadaan tersebut dilihat sering dialami oleh golongan ibu.
Menurut portal Cleveland Clinic, brain fog atau "kabus minda" ialah istilah yang digunakan untuk menggambarkan sekumpulan simptom yang menjejaskan fungsi kognitif seseorang.
Difahamkan, keadaan ini boleh menyebabkan seseorang sukar berfikir dengan jelas, memberi tumpuan, mengingati sesuatu serta mengekalkan perhatian terhadap tugasan yang sedang dilakukan.
Seperti namanya, brain fog membuatkan minda terasa "berkabus", sekali gus menyukarkan individu menjalankan aktiviti harian seperti berbual, memahami arahan atau mengingati langkah-langkah sesuatu tugas.
Brain fog bukanlah satu penyakit khusus, sebaliknya ia boleh berlaku selepas seseorang mengalami penyakit tertentu, kesan sampingan ubat-ubatan atau berpunca daripada masalah kesihatan lain yang mendasarinya.

Portal Cleveland Clinic menjelaskan bahawa pengalaman mengalami brain fog berbeza bagi setiap individu.
Namun begitu, antara tanda yang sering dilaporkan termasuk:
Sukar memberi tumpuan atau fokus.
Mudah keliru.
Cepat berasa letih.
Kerap terlupa perkara penting.
Hilang idea atau terputus aliran pemikiran ketika bercakap.
Keletihan mental.
Sukar mencari perkataan yang sesuai ketika berkomunikasi.
Proses berfikir dan tindak balas yang lebih perlahan.
Kesukaran memberi perhatian kepada sesuatu perkara.

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan brain fog berlaku, jelas portal Cleveland Clinic. Antaranya ialah:
Kurang tidur atau tidak mendapat rehat yang mencukupi.
Penyakit autoimun seperti lupus, sklerosis berbilang (multiple sclerosis) dan fibromyalgia.
Diabetes serta paras gula darah yang rendah.
Gangguan kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan.
Keadaan neurodivergen seperti ADHD dan gangguan spektrum autisme.
Perubahan hormon ketika hamil atau menopaus.
Pemakanan yang tidak seimbang
Tekanan atau stres yang berpanjangan.

Selain itu, brain fog juga boleh berlaku selepas:
Jangkitan COVID-19 berpanjangan (long COVID).
Rawatan kemoterapi bagi pesakit kanser.
Tempoh kemasukan ke hospital yang lama.
Menurut beberapa kajian, sistem imun badan boleh mencetuskan keradangan pada otak yang menjejaskan keupayaan tubuh memproses maklumat dengan lancar, sekali gus menyebabkan simptom brain fog.
Bagi pesakit yang pernah dijangkiti COVID-19, penyelidikan terkini menunjukkan virus tersebut mungkin meninggalkan kesan terhadap mikrobiom usus walaupun simptom jangkitan telah pulih.
Perubahan ini boleh mengurangkan penghasilan serotonin dalam badan, iaitu bahan kimia yang membantu fungsi otak dan pemikiran, lalu menyumbang kepada berlakunya brain fog.
Sehingga kini, portal Cleveland Clinic menjelaskan bahawa tiada rawatan khusus untuk menghilangkan brain fog sepenuhnya.
Namun begitu, beberapa langkah boleh membantu mengurangkan simptom dan meningkatkan fungsi mental, antaranya:
Memperbaiki kualiti tidur dan memastikan rehat yang mencukupi.
Mengamalkan pemakanan sihat dan berkhasiat.
Melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
Mencatat maklumat penting bagi mengelakkan terlupa.
Mengambil rehat pendek secara berkala untuk mengurangkan keletihan mental.
Mendapatkan bantuan terapi psikologi seperti terapi tingkah laku kognitif (CBT).
Sekiranya simptom berterusan, doktor mungkin mencadangkan rawatan tertentu berdasarkan punca yang dikenal pasti, termasuk penggunaan ubat-ubatan yang bersesuaian.

Portal Cleveland Clinic menjelaskan bahawa tempoh brain fog berbeza bagi setiap individu.
Ada yang mengalaminya selama beberapa hari atau minggu, manakala sesetengah kes boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Jika keadaan ini mula mengganggu kualiti hidup, pekerjaan atau rutin harian, individu disarankan mendapatkan pemeriksaan daripada profesional kesihatan untuk mengenal pasti puncanya.

Menuru portal Cleveland Clinic, brain fog perlu diberi perhatian jika ia mula menjejaskan aktiviti harian.
Antara tanda yang memerlukan pemeriksaan lanjut termasuk:
Kerap terlupa janji temu atau perkara penting.
Sukar menyelesaikan tugasan harian yang biasa dilakukan.
Mengalami masalah memberi perhatian ketika berkomunikasi dengan orang lain.
Simptom berpanjangan sehingga menjejaskan kualiti hidup.
Doktor boleh membantu mengenal pasti punca sebenar dan mencadangkan rawatan yang sesuai bagi mengurangkan kesannya.

Kesimpulannya, brain fog merupakan keadaan yang boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfikir dengan jelas, memberi tumpuan dan mengingati sesuatu perkara.
Walaupun ia sering dikaitkan dengan perubahan hormon, keletihan dan tekanan yang dialami selepas bergelar ibu, keadaan ini juga boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor lain.
Justeru, simptom seperti mudah lupa, sukar fokus dan keletihan mental tidak seharusnya dipandang ringan.
Jika ia berlarutan atau mula mengganggu rutin harian, mendapatkan nasihat serta pemeriksaan daripada profesional kesihatan adalah langkah terbaik untuk mengenal pasti puncanya dan mendapatkan bantuan yang sesuai.