Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KKR Teliti Pemasangan Lampu LED - Nanta

LAMPU
Kredit: Facebook Alexander Nanta Linggi

KKR Teliti Pemasangan Lampu LED - Nanta

Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) meningkatkan rondaan terutama pada waktu malam di lokasi berisiko kemalangan, selain meneliti penambahbaikan pencahayaan menerusi pemasangan lampu LED bagi memperkukuh aspek keselamatan pengguna lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan hidupan liar.

Menurut beliau, cadangan berhubung penambahbaikan pencahayaan akan diteliti dari sudut teknikal serta keperluan pelaksanaannya di sepanjang jajaran yang terlibat.

“Saya memandang serius keadaan ini kerana ia bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya, malah berkait rapat dengan pengurusan konflik manusia dan hidupan liar yang semakin mencabar.

“Dalam pada itu, saya ingin menasihatkan pengguna lebuh raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju dan meningkatkan tahap kewaspadaan khususnya ketika melalui kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan pergerakan hidupan liar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam perkembangan sama, Alexander berkata, berdasarkan laporan awal yang diterima, kawasan berkenaan telah dilengkapi pagar keselamatan bagi menghalang kemasukan hidupan liar ke jajaran lebuh raya.

Bagaimanapun, menurut beliau, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat bahagian pagar yang rosak selepas dipercayai dirempuh kawanan gajah yang melalui kawasan tersebut.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan syarikat konsesi LPT2 mengambil tindakan segera membaik pulih pagar yang rosak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Pasukan teknikal telah berada di lokasi bagi menilai tahap kerosakan dan menyelaras pelaksanaan kerja pembaikan dengan kadar segera. Saya dimaklumkan kerja-kerja pembaikan akan bermula selewat-lewatnya pada Khamis,” ujarnya.

Beliau berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut diarahkan mengadakan perbincangan bersama syarikat konsesi LPT2 dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengenal pasti langkah penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan.

Katanya, kerjasama antara semua pihak berkaitan penting bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya terus terpelihara di samping mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar di kawasan berkenaan.

Intipati
  • KKR mengarahkan konsesi LPT2 meningkatkan rondaan malam di lokasi berisiko kemalangan.
  • Cadangan pemasangan lampu LED akan diteliti mengikut keperluan teknikal jajaran terlibat.
  • Pagar keselamatan rosak dipercayai dirempuh gajah dan akan dibaiki segera.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan