Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPM Disaran Lantik Bekas Tentera Sebagai Warden Sepenuh Masa - Asyraf Wajdi

ASYRAF
Kredit: Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KPM Disaran Lantik Bekas Tentera Sebagai Warden Sepenuh Masa - Asyraf Wajdi

Kementerian Pendidikan (KPM) disaran mempertimbangkan pelaksanaan model warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera di sekolah berasrama sebagai usaha memperkukuh disiplin pelajar serta membendung gejala buli.

Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan pendekatan berkenaan telah menunjukkan hasil memberangsangkan menerusi projek rintis di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, MARA bersedia berkongsi hasil kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) berhubung keberkesanan pelantikan warden luar sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera sepanjang tempoh sembilan bulan pelaksanaannya.

Menurut beliau, antara dapatan utama kajian itu ialah tiada kes buli direkodkan sepanjang tempoh projek dijalankan, selain tahap disiplin pelajar menunjukkan peningkatan yang ketara.

Katanya, sistem pemantauan yang lebih konsisten turut membolehkan sebarang isu berkaitan kebajikan dan keselamatan pelajar ditangani dengan lebih cepat.

"Malah, suasana di asrama menjadi lebih selamat, teratur dan kondusif.

"Pada masa sama, guru tidak lagi dibebankan dengan tugas sebagai warden dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab hakiki iaitu mengajar serta mendidik pelajar," katanya.

Tambah beliau, pencapaian akademik pelajar turut menunjukkan peningkatan, manakala maklum balas yang diterima daripada pelajar menerusi tinjauan serta lawatan lapangan adalah amat positif.

Menurutnya, gabungan elemen ketegasan serta nilai keibubapaan yang dibawa oleh bekas anggota tentera menjadikan mereka bukan sekadar menjaga disiplin, malah berperanan sebagai pembimbing dan pendidik kepada pelajar yang tinggal di asrama.

Berikutan kejayaan projek rintis tersebut, Asyraf berkata, MARA telah memutuskan untuk memperluaskan pelaksanaan inisiatif itu ke 10 lagi MRSM bermula bulan lalu sebelum diperkenalkan di kesemua 58 MRSM di seluruh negara bermula Januari tahun hadapan.

Beliau berkata, pendekatan itu diyakini mampu memperkukuh sistem pengurusan asrama secara lebih tersusun, profesional dan berkesan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pasukan penyelidik UPM yang diketuai Prof. Dr. Haslinda turut diberi tanggungjawab membangunkan modul latihan khas kepada bakal warden.

Katanya, modul tersebut bukan sahaja memberi penekanan terhadap aspek disiplin dan keselamatan, malah turut merangkumi pembentukan nilai kemanusiaan, empati serta keibubapaan supaya mereka dapat memainkan peranan sebagai pendidik dan penjaga kepada pelajar di asrama selaras dengan Falsafah Pendidikan MARA.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, cadangan itu juga berpotensi membuka peluang pekerjaan kepada bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan perkhidmatan ketika masih berada dalam lingkungan usia produktif, sekitar 38 hingga 45 tahun.

Beliau berkata, sebahagian daripada mereka, khususnya veteran yang tidak berpencen, masih mampu menyumbang kepada negara melalui sektor pendidikan sekali gus membantu meningkatkan tahap disiplin pelajar.

"Pendekatan ini bukan sahaja dapat memperkukuh pengurusan disiplin di sekolah, malah menjadi antara alternatif bagi membantu menangani isu kebajikan veteran ATM, terutama mereka yang tidak menerima pencen bulanan kerana tempoh perkhidmatan yang tidak memenuhi syarat," katanya.

Intipati
  • Asyraf Wajdi menyarankan KPM menimbang warden sepenuh masa daripada bekas anggota tentera.
  • Kajian UPM mendapati tiada kes buli direkodkan sepanjang projek rintis sembilan bulan.
  • MARA mahu memperluas inisiatif ke semua 58 MRSM bermula Januari tahun hadapan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan