Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KPWKM Sasar Lahirkan 50,000 Penjaga Berkemahiran Menjelang 2030

KPWKM
Kredit: Facebook Nancy Shukri

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk melahirkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang 2030 menerusi usaha memperkukuh dan memprofesionalkan sektor penjagaan di negara ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran itu digariskan menerusi Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026–2030.

Menurutnya, pembangunan sektor penjagaan yang lebih tersusun, berkualiti dan profesional juga mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, keusahawanan serta laluan kerjaya kepada rakyat.

“Melalui kerangka dan pelan tindakan ini, KPWKM menyasarkan untuk melahirkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang 2030.

“Usaha ini sekali gus membuka peluang pekerjaan, keusahawanan dan laluan kerjaya dalam sektor penjagaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Inisiatif Sektor Penjagaan KPWKM di bawah Belanjawan MADANI 2026 serta melancarkan Kempen Penjagaan KPWKM bertemakan ‘Ilmu Menjaga, KASIH Dirasa’.

Dalam pada itu, Nancy berkata, beliau turut meluangkan masa mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh sektor penjagaan bagi mendengar sendiri pelbagai isu, cabaran, pengalaman dan cadangan daripada pihak yang terlibat secara langsung dalam bidang berkenaan.

Ujarnya, pandangan daripada mereka yang berada di lapangan amat penting bagi memastikan setiap perancangan dan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan sebenar.

“Setiap perkara yang dibangkitkan akan diteliti dengan lebih terperinci supaya apa yang kita bangunkan benar-benar menjawab keperluan penjaga, penyedia perkhidmatan serta individu yang memerlukan penjagaan,” jelasnya.

Nancy berkata, KPWKM mahu memastikan sektor penjagaan negara terus diperkasa dengan sokongan yang lebih menyeluruh kepada semua pihak terlibat.

Dengan semangat ‘Kita Sama Jaga’, katanya, kerajaan mahu keluarga terus menerima sokongan, wanita kekal produktif dan penjaga diberi penghargaan sewajarnya.

“Pada masa sama, kita mahu setiap individu yang memerlukan penjagaan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selamat, bermaruah dan sejahtera,” ujarnya.

Intipati
  • KPWKM menyasarkan 50,000 penjaga berkemahiran menjelang 2030 melalui kerangka penjagaan baharu.
  • Nancy Shukri berkata sektor penjagaan profesional mampu membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan.
  • KPWKM mahu sokongan lebih menyeluruh kepada penjaga, penyedia perkhidmatan dan individu memerlukan penjagaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan