Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Maulidur Rasul: TPM Zahid, TPM Fadillah Seru Umat Islam Teladani Akhlak Rasulullah SAW

MAULIDUR
Kredit: Facebook Fadillah Yusof

Sambutan Maulidur Rasul perlu dijadikan ruang untuk umat Islam memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, selain meneladani sirah, akhlak dan sunah Baginda sebagai pedoman dalam setiap aspek kehidupan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap sambutan Maulidur Rasul 1448H dapat terus menyuburkan kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW.

Menurutnya, penghayatan terhadap ajaran dan keperibadian Baginda juga penting dalam memperkukuh ukhuwah serta mendorong umat Islam menjadi insan yang membawa rahmat dan kebaikan kepada seluruh masyarakat.

“Salam Maulidur Rasul 1448H saya ucapkan kepada seluruh umat Islam.

“Semoga sambutan Maulidur Rasul ini terus menyuburkan kecintaan kita kepada Baginda SAW, memperteguh ukhuwah serta mendorong kita untuk menjadi umat yang membawa rahmat dan kebaikan kepada seluruh masyarakat. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya', ayat 107 yang membawa maksud Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar mengingati sirah dan memperbanyakkan selawat.

Sebaliknya, ujarnya, umat Islam perlu menghidupkan sunah dan akhlak Rasulullah SAW dalam diri, keluarga serta kehidupan bermasyarakat.

Menurut Fadillah, Nabi Muhammad SAW merupakan qudwah dan uswatun hasanah atau teladan terbaik dalam seluruh aspek kehidupan.

Jelasnya, Rasulullah SAW menunjukkan contoh dalam mengamalkan nilai kasih sayang, amanah, keadilan, kesabaran dan ihsan.

“Rasulullah SAW turut menunjukkan bagaimana perbezaan dapat diurus dengan hikmah, persaudaraan dipelihara serta masyarakat dibina atas dasar saling menghormati dan hidup dalam keharmonian,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah menyeru umat Islam supaya tidak membiarkan perbezaan dan perselisihan menjadi punca perpecahan.

Beliau berkata, umat Islam sebaliknya perlu memilih rahmah berbanding permusuhan, hikmah daripada emosi, persaudaraan berbanding perpecahan serta akhlak dalam menghadapi pertelingkahan.

Katanya, penghayatan nilai itu juga selaras dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’.

“Tema ini mengajak kita untuk menterjemahkan nilai amanah, ihsan, kesopanan dan saling menghormati, di samping memperkukuh perpaduan dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Fadillah turut mengajak umat Islam menjadikan Rasulullah SAW sebagai teladan dalam melaksanakan amanah, sama ada ketika bekerja, bersama keluarga, dalam kehidupan bermasyarakat mahupun sebagai warganegara.

Beliau berharap Malaysia terus dipelihara Allah SWT dengan keamanan, perpaduan dan keharmonian, selain seluruh rakyat dikurniakan kehidupan yang sejahtera serta diberkati.

Intipati
  • Ahmad Zahid menyeru umat Islam meneladani sirah, akhlak dan sunah Rasulullah SAW.
  • Fadillah berkata sambutan Maulidur Rasul perlu menghidupkan sunah dalam keluarga dan masyarakat.
  • Beliau mengingatkan umat Islam memilih rahmah, hikmah dan persaudaraan berbanding perpecahan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan