Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KTM Komuter Di Stesen Keretapi Segambut Utara Mula Operasi 11 Mei Ini

Sofea
KTM Komuter
Kredit: Bernama

KTM Komuter Di Stesen Keretapi Segambut Utara Mula Operasi 11 Mei Ini

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan bahawa pengoperasian perkhidmatan KTM Komuter di Stesen Keretapi Segambut Utara akan mula beroperasi pada 11 Mei ini.

Menerusi satu kenyataan, KTMB berkata perkhidmatan itu memperluaskan akses pengangkutan rel kepada komuniti sekitar Segambut dan kawasan berhampiran.

"Stesen Keretapi Segambut Utara merupakan stesen KTM Komuter yang ke-58 dan merupakan sebahagian daripada perkhidmatan KTM Komuter laluan Tanjung Malim Pelabuhan Klang.

"Stesen ini menghubungkan penumpang ke destinasi utama serta stesen integrasi rel yang menawarkan sambungan kepada rangkaian rel lain termasuk MRT dan LRT seperti Sungai Buloh, Kepong Sentral, Abdullah Hukum dan Subang Jaya.

"Selain itu, penumpang dari Stesen Segambut Utara juga boleh meneruskan perjalanan ke laluan sektor Batu Caves Pulau Sebang dengan membuat pertukaran tren di stesen integrasi seperti Stesen Kuala Lumpur dan KL Sentral," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kedudukannya yang strategik turut menyediakan akses terus kepada pembangunan komersial dan kediaman seperti United Point, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan kediaman, pusat aktiviti ekonomi dan rangkaian pengangkutan awam.

Stesen Keretapi Segambut Utara dijangka memberi manfaat kepada lebih 250,000 penduduk sekitar Segambut, khususnya komuniti di kawasan Segambut Utara, Jalan Ipoh, Kepong dan kawasan berhampiran.

Kehadiran stesen ini turut menyokong keperluan mobiliti harian di kawasan berpenduduk padat serta menggalakkan peralihan kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan mampan.

"Dalam usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas dan inklusif, KTMB menyediakan kemudahan tambang konsesi sebanyak 50% kepada golongan pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Selain itu, program khas MyRailLife turut diperkenalkan bagi memberi manfaat kepada empat kategori penumpang iaitu kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun, pelajar sekolah rendah dan menengah (7 hingga 17 tahun), pelajar Tingkatan Enam serta Orang Kurang Upaya (OKU)," ujarnya.

KTMB berkata, melalui inisiatif ini, penumpang yang layak boleh menikmati pas perjalanan percuma tanpa had bagi memudahkan mobiliti harian serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan rel sebagai mod pengangkutan utama.

Pengguna membuat pembelian tiket di aplikasi KITS Style atau kiosk tiket di stesen-stesen KTMB serta boleh membuat pembayaran perjalanan menggunakan kad debit, kad kredit dan pembayaran digital e-dompet itu di pintu kawalan automatik.

"Pengoperasian stesen ini dijangka memberi pilihan perjalanan yang lebih mudah dan praktikal kepada pengguna harian, di samping menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta memperkukuh agenda mobiliti bandar yang lebih mampan di Lembah Klang.

"Orang ramai boleh merancang perjalanan dengan merujuk jadual perkhidmatan KTM Komuter melalui laman web rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau aplikasi KITS Style.

"Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200," jelas KTMB.