Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kuasa Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal dikurangkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) MARA 2026 yang dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kira-kira 80 peratus kandungan akta baharu itu memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus korporat, termasuk pengasingan kuasa yang lebih jelas antara lembaga pengarah dan pihak pengurusan.

Menurutnya, menerusi akta baharu berkenaan, pengerusi hanya bertanggungjawab mempengerusikan lembaga pengarah atau majlis serta menentukan perkara berkaitan dasar.
Katanya, pendekatan itu berbeza dengan Akta MARA 1966 yang memberi kuasa besar kepada pengerusi sehingga melangkaui bidang kuasa eksekutif pengurusan.
“Boleh dikatakan akta baharu yang dicadangkan ini, 80 peratus adalah berkenaan dengan tadbir urus korporat MARA yang tidak pernah dibincangkan di era 60-an,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Asyraf Wajdi berkata, RUU berkenaan telah mendapat kelulusan dasar Jemaah Menteri minggu lalu dan bakal menggantikan Akta MARA 1966 yang sudah berusia 60 tahun.
Selain mengehadkan kuasa pengerusi, jelasnya, akta baharu itu turut menetapkan kriteria kelayakan dan kesesuaian bagi pelantikan Ahli Lembaga serta mengehadkan tempoh perkhidmatan mereka.
Menurutnya, tatakelola kewangan dan perolehan juga akan diperketat, selain mewajibkan penubuhan beberapa jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Audit, Jawatankuasa Pelaburan, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus serta Jawatankuasa Risiko MARA.
“Jawatankuasa Syariah pula akan diwujudkan buat pertama kali bagi memastikan operasi MARA mematuhi prinsip syariah,” katanya.
Mengimbas usaha pembaharuan yang dilaksanakan sejak dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 10 Mac 2023, Asyraf Wajdi berkata, beliau turut menubuhkan pasukan khas diketuai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim bagi menilai aspek tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan agensi berkenaan.
Katanya, langkah itu dibuat susulan beberapa isu terdahulu, termasuk pembelian aset di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014 yang menyumbang kepada kerugian terkumpul MARA Inc sebanyak RM286.30 juta bagi tempoh 2012 hingga 2022.
Turut diberi perhatian, katanya, ialah kontroversi penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW) sekitar 2016 hingga 2017, kerugian membabitkan beberapa projek, kelemahan kutipan hutang pinjaman serta dakwaan kewujudan kartel yang menguasai tender perolehan MARA termasuk kontrak makanan bernilai puluhan juta ringgit.
Susulan itu, beberapa langkah pembaharuan dilaksanakan termasuk memperketat disiplin kewangan, menjalankan audit forensik terhadap anak syarikat, menyelaraskan fungsi Audit Dalaman MARA dan MARA Corp secara berpusat serta melakukan rombakan terhadap bahagian perolehan.
Asyraf Wajdi berkata, perubahan struktur menerusi akta baharu itu penting bagi mengelakkan berulangnya isu salah guna kuasa, penyelewengan, ketirisan dan pembaziran yang boleh menjejaskan MARA.
“Semua ini dilaksanakan agar tiada lagi kes dan insiden yang terkait dengan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, juga ketirisan mahupun keborosan yang boleh berlaku dan berisiko mengakibatkan kemudaratan besar kepada institusi terbesar yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera negara ini,” ujarnya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan