Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kubur Tersembunyi Bongkar Sekurang-kurangnya 11 Rangka Manusia
Sekurang-kurangnya 11 rangka manusia telah ditemui di dalam kubur tersembunyi di negeri barat Mexico, Jalisco pada Khamis.
Menurut pejabat pendakwa raya tempatan., rangka manusia itu ditemukan di sebuah lot luar bandar di Ixtlahuacan, pinggir bandar Guadalajara, ibu negeri berkenaan, lapor AFP.
Timbalan Pendakwa Raya bagi Orang Hilang, Blanca Trujillo, dalam satu sidang media berkata sebanyak 12 lagi beg mengandungi sisa rangka manusia turut ditemukan di sebuah tapak pembinaan di Tlajomulco yang berdekatan.
Jumlah sebenar mangsa dari kedua-dua lokasi itu masih belum dapat dipastikan dan sisa rangka berkenaan dipercayai telah lama berada di situ, namun tempoh masa tidak dinyatakan.
Negeri Jalisco telah lama terjejas teruk akibat keganasan berkaitan dadah sejak beberapa tahun lalu.
Pada Februari lalu, tentera Mexico dilaporkan telah menembak mati ketua Kartel Generasi Baharu Jalisco, Nemesio “El Mencho” Oseguera, yang juga merupakan antara raja dadah paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat.
Susulan insiden itu, penganjur Piala Dunia, FIFA, menegaskan semula keyakinan mereka terhadap Guadalajara sebagai bandar tuan rumah.
Kerajaan persekutuan Mexico turut mengumumkan penempatan hampir 100,000 anggota tentera bagi menjamin keselamatan di ketiga-tiga bandar tuan rumah, termasuk Monterrey dan Mexico City. Mexico menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak itu bersama Amerika Syarikat dan Kanada.
Menurut angka rasmi, Mexico mencatatkan lebih daripada 130,000 individu yang dilaporkan hilang, dengan kebanyakannya berlaku dalam tempoh dua dekad terakhir susulan keganasan berkaitan dadah.