KANGAR, 9 Sept (Bernama) -- Naib Ketua Bersatu Bahagian Kangar Faisol Rahman bersama-sama jawatankuasa bahagian serta 90 daripada 99 Ketua Cawangan di bahagian itu mengumumkan keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Turut mengumumkan sedemikian ialah barisan kepimpinan Armada, Srikandi dan Srikandi Muda bahagian itu, termasuk Naib Ketua Armada Bahagian Kangar Mohd Firdaus Ismail bersama-sama semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Armada.
Pada sidang media di Kuala Perlis dekat sini malam ini, Faisol yang mewakili mereka berkata tindakan itu bagaimanapun tidak melibatkan mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang berada dalam jawatankuasa bahagian berkenaan.
“Keputusan ini dibuat setelah melalui pertimbangan mendalam dan mengambil kira perkembangan semasa serta pandangan akar umbi yang hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pusat.
“Setelah sekian lama bersama-sama membangunkan parti di peringkat akar umbi, kami merasakan bahawa kepercayaan terhadap kepimpinan parti telah pun hilang,” katanya.
Faisol berkata mereka berpandangan terdapat perkara berkaitan hala tuju, pengurusan organisasi dan pendekatan kepimpinan yang tidak lagi selari dengan harapan serta aspirasi mereka sebagai pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan.
Beliau berkata kekuatan sesebuah parti politik bermula daripada kepercayaan antara kepimpinan dengan akar umbi dan apabila kepercayaan itu terhakis, sudah tiba masanya untuk mereka mengambil pendirian yang jelas.
Sehubungan dengan itu, katanya, mereka akan menyertai Parti Wawasan Negara yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis Izizam Ibrahim berkata beliau positif terhadap tindakan peletakan jawatan dan keluar parti berkenaan kerana ia membolehkan proses pemutihan parti dilaksanakan dengan berkesan bagi memperkukuh Bersatu negeri.
Izizam berkata berdasarkan peruntukan Perlembagaan Bersatu, sebarang peletakan jawatan atau kekosongan dalam bahagian tidak menyebabkan bahagian itu terbubar, sebaliknya jawatankuasa penaja baharu akan dibentuk bagi menyusun semula struktur organisasi.
Semalam pucuk pimpinan Bersatu Bahagian Padang Besar bersama-sama 14 ketua cawangan daripada 24 cawangan di bahagian itu mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti serta-merta.
Pimpinan Bersatu Bahagian Padang Besar yang bertindak sedemikian terdiri daripada Timbalan Ketuanya Ramzi Md Udi, Naib Ketua Ramli Aripin, Pemangku Ketua Srikandi Fazuwin Razak, Ketua Srikandi Muda Nurul Hafiza Ramli serta dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Zulkefli Hassan dan Nazri Khamis.
-- BERNAMA

