Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lapangan Terbang Labuan Ditutup Sementara

Lapangan Terbang Labuan
Gambar: Facebook Malaysia Airports

Lapangan Terbang Labuan Ditutup Sementara

Malaysia Airports memaklumkan bahawa satu Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) telah dikeluarkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhubung penutupan sementara landasan di Lapangan Terbang Labuan sehingga dimaklumkan kelak.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Malaysia Airports, TUDM bersama pihak berkuasa lapangan terbang sedang menjalankan pemeriksaan bersama terhadap landasan bagi memastikan tahap keselamatan operasi.

Katanya, landasan hanya akan dibuka semula selepas pemeriksaan selesai dan pelepasan rasmi diberikan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Susulan penutupan itu, operasi penerbangan yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Labuan turut terjejas.

"Beberapa penerbangan telah dialihkan ke destinasi lain, mengalami kelewatan atau tertakluk kepada perubahan operasi," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, penumpang yang dijadualkan melakukan perjalanan ke atau dari Labuan dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan dan pengaturan perjalanan terkini dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang.

Malaysia Airports turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa sebaik sahaja maklumat baharu diterima.

Penemuan bom lama turut dilaporkan media

Bagaimanapun, Malaysia Airports dalam kenyataannya tidak memperincikan punca yang menyebabkan penutupan sementara landasan di Lapangan Terbang Labuan.

Memetik laporan Bernama seperti dilaporkan Astro Awani, bahan letupan yang dipercayai merupakan bom peninggalan era Perang Dunia Kedua ditemukan di tapak projek pembaikan cerun di Jalan Persisiran Pantai Kerupang, Labuan.

Tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Labuan turut mendapati beberapa penerbangan ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Miri yang dijadualkan berlepas pada sebelah petang dan malam terjejas susulan penutupan sementara landasan berkenaan.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengaitkan penemuan bahan letupan itu dengan penutupan landasan, manakala Malaysia Airports memaklumkan perkembangan lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa sebaik sahaja maklumat baharu diperoleh.