Lebih 25 Ribu Calon ‘Serang’ Job Fair Bekasi, Isi 3 Ribu Kerja Kosong
Job fair anjuran Dinas Ketenagakerjaan (Disnaker) Kabupaten Bekasi diadakan di President University, Jababeka Convention Centre, Cikarang, mencuri perhatian ribuan ‘pemburu kerja’ sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa dan sedikit kekecohan di lokasi.
Program yang dinamakan “Bekasi Pasti Kerja” itu menarik kehadiran lebih 25,000 orang, sedangkan jumlah kekosongan jawatan yang ditawarkan hanyalah sekitar 3,000 sahaja, lapor detikFinance.
Kekecohan tercetus apabila para calon berpusu-pusu memasuki kawasan acara, dan beberapa individu dilaporkan pengsan akibat keadaan sesak dan saling tolak-menolak. Kejadian itu menjadi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi.
BACA: Pilu Di Gaza, Doktor Hilang 9 Anak Sekelip Mata
Menjawab persoalan orang ramai, Ketua Biro Humas Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia (Kemnaker), Sunardi Manampiar Sinaga, menjelaskan keadaan itu bukanlah semata-mata mencerminkan kesukaran mendapatkan pekerjaan di Indonesia. Sebaliknya, ia menunjukkan betapa tingginya minat masyarakat terhadap peluang pekerjaan.
“Kalau dikatakan kekecohan ini sebagai bukti susahnya mencari kerja, saya rasa itu kurang tepat. Sebenarnya, ini menunjukkan animo masyarakat yang sangat tinggi terhadap peluang kerja,” kata beliau.
Sunardi menambah, peningkatan jumlah lepasan sekolah dan universiti yang kini memasuki pasaran kerja turut menjadi faktor utama. Selain itu, ada juga golongan yang ingin mencari pekerjaan baru yang lebih sesuai atau mencuba kerja sampingan.
“Sebahagian masyarakat datang bukan semata-mata untuk memohon kerja, tetapi juga untuk mendapatkan konsultasi berkaitan isu pekerjaan, atau mencuba peluang kerja sambilan,” tambahnya.
BACA: Gaza: Baru Hilang 9 Anak, Kini Dr. Alaa Juga Hilang Suami
Namun begitu, Presiden Konfederasi Serikat Pekerja Indonesia (KSPI) merangkap Presiden Partai Buruh, Said Iqbal, berpandangan sebaliknya.
Beliau menyifatkan kekecohan tersebut sebagai cerminan nyata kadar pengangguran yang semakin membimbangkan di Indonesia.
“Permintaan kerja sangat tinggi, tetapi tawaran kerja sangat terhad. Ini menandakan kerajaan belum berjaya menyediakan peluang kerja yang mencukupi,” tegas beliau, seperti dilapor CNBC Indonesia.
Tambahnya lagi, kegagalan kerajaan menyediakan pasaran kerja yang stabil mengakibatkan pengangguran terus meningkat. Ini terutamanya dengan gelombang besar Pemutusan Hubungan Kerja (PHK) sejak awal tahun.
Menurut data yang dikumpulkan oleh Litbang Partai Buruh dan Koalisi Serikat Pekerja (KSP-PB), antara Januari hingga Mac 2025, sebanyak 40 syarikat telah melakukan PHK yang menjejaskan 60,000 pekerja.
Angka ini meningkat kepada 80 syarikat dengan 70,000 pekerja diberhentikan pada April 2025 sahaja.
Berdasarkan laporan BPJS Ketenagakerjaan, seramai lebih 52,000 pekerja telah menerima manfaat Jaminan Kehilangan Pekerjaan (JKP) dalam tempoh Januari hingga April 2025.
Ini menggambarkan betapa besar jumlah pekerja yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh hanya empat bulan.
BACA: 5 Perkara Ibu Bapa Tak Akan Beritahu Anak-anak, Paling Terkilan Bila Tahu No. 4
Sementara itu, Menteri Ketenagakerjaan, Yassierli, dalam satu sidang media berkata, insiden tersebut akan dijadikan bahan penilaian oleh pihak kementerian bagi memperbaiki penganjuran job fair pada masa akan datang.
“Ini akan menjadi satu bentuk evaluasi. Kami akan memperkuat koordinasi dan bimbingan dengan pihak Disnaker di peringkat daerah agar program seperti ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan tersusun,” ujar beliau.
Walau bagaimanapun, Yassierli memuji usaha di peringkat daerah kerana berjaya mengadakan job fair besar-besaran seperti ini yang menunjukkan komitmen untuk mempertemukan pencari kerja dan majikan.
Sumber: detikFinance, CNBC Indonesia
