Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki 18–26 Tahun Di AS Bakal Didaftar Automatik Untuk Kerahan Tentera

Kerahan Tentera
Kredit: United States Pacific Command (USPACOM)

Lelaki 18–26 Tahun Di AS Bakal Didaftar Automatik Untuk Kerahan Tentera

Lelaki muda berusia 18 hingga 26 tahun akan didaftarkan secara automatik ke dalam kumpulan kerahan tentera bermula Disember, lapor BBC.

Undang-undang baharu yang dicadangkan oleh sebuah agensi kerajaan akan memperkenalkan pendaftaran automatik bagi lelaki, menggantikan keperluan untuk mereka mendaftar sendiri dalam tempoh 30 hari selepas mencapai usia 18 tahun.

Penyokong cadangan tersebut berpendapat pendaftaran secara automatik akan menjimatkan jutaan dolar Amerika Syarikat setiap tahun, yang sebelum ini dibelanjakan oleh kerajaan bagi mengingatkan individu yang layak bahawa pendaftaran adalah diwajibkan di sisi undang-undang bagi lelaki berumur antara 18 hingga 25 tahun.

Difahamkan, undang-undang itu masih dalam proses semakan dan perlu mendapat kelulusan sebelum boleh dilaksanakan.

Agensi kerajaan, Sistem Perkhidmatan Terpilih (SSS) telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Pejabat Hal Ehwal Maklumat dan Kawal Selia pada 30 Mac.

Laman web Sistem Perkhidmatan Pilihan (Selective Service System, SSS) memaklumkan perubahan itu akan memindahkan tanggungjawab pendaftaran daripada individu lelaki kepada pihak SSS melalui integrasi dengan sumber data persekutuan lain, yang menurutnya akan mewujudkan proses yang lebih mudah.

Hukuman berat menanti individu yang gagal mendaftar

Menurut BBC, kerahan tenaga tentera terakhir di Amerika Syarikat dilaksanakan pada tahun 1973, selepas bertahun-tahun menerima tentangan hebat daripada orang awam semasa Perang Vietnam.

Di Amerika Syarikat, kebanyakan lelaki berumur antara 18 hingga 25 tahun sememangnya diwajibkan untuk mendaftar bagi perkhidmatan ketenteraan.

Kegagalan berbuat demikian merupakan satu kesalahan jenayah yang secara teorinya boleh membawa hukuman sehingga lima tahun penjara persekutuan.

Meskipun hukuman penjara jarang dikenakan, kegagalan mendaftar juga boleh mengakibatkan seseorang hilang kelayakan untuk menerima bantuan kewangan pelajar persekutuan serta peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan persekutuan.

Bagi bukan warganegara, kegagalan tersebut turut boleh menjejaskan peluang untuk memperoleh kewarganegaraan Amerika Syarikat.

Sebahagian besar negeri dan wilayah di negara itu turut secara automatik mendaftarkan lelaki untuk Sistem Perkhidmatan Pilihan (Selective Service) apabila mereka memperoleh lesen memandu.

Cadangan bagi memperkenalkan pendaftaran automatik itu telah diluluskan oleh Kongres pada Disember lalu sebagai sebahagian daripada Akta Kebenaran Pertahanan Negara (National Defense Authorization Act), yang mengawal peruntukan dana untuk tentera Amerika Syarikat serta operasi ketenteraan di seluruh dunia.

Ahli Kongres Demokrat Pennsylvania, Chrissy Houlahan berkata bahawa langkah itu akan membolehkan kerajaan mengalihkan semula sumber.

“Ini pada asasnya bermaksud wang kepada kesiapsiagaan dan mobilisasi yang daripada dibelanjakan untuk pendidikan dan kempen pengiklanan bagi mendaftarkan orang ramai," katanya.

Bagaimanapun, perubahan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sesetengah rakyat Amerika bahawa negara tersebut sedang menuju ke arah pelaksanaan kerahan tenaga sekiranya konflik dengan Iran meningkat atau berlaku krisis pada masa hadapan.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, turut menjawab secara langsung mengenai isu kerahan tenaga dan kemungkinan penempatan tentera Amerika di Iran dalam temu bual bersama Fox News pada awal Mac.

“Ia bukan sebahagian daripada rancangan semasa, namun presiden mengekalkan semua pilihan di atas meja

“Tiada keutamaan atau tanggungjawab yang lebih besar bagi presiden ini selain melindungi rakyat Amerika dan melindungi tentera kita," ujarnya.

Sumber:BBC