Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Mahkamah Agung AS Persoal Kesahihan Tarif Trump
Majoriti hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat mempersoalkan kesahihan undang-undang di sebalik pelaksanaan tarif besar-besaran oleh Presiden Donald Trump, dalam satu kes penting yang berpotensi menentukan masa depan dasar ekonomi beliau.
AFP melaporkan perkara itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai had kuasa eksekutif beliau.
Kes penting itu melibatkan berbilion dolar hasil kastam dan menjadi ujian terhadap perang perdagangan Trump, termasuk tarif timbal balik ke atas hampir semua rakan dagang AS serta levi terhadap Mexico, Kanada dan China.
“Undang-undang yang digunakan Trump, Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), tidak menyebut perkataan ‘tarif.” kata Ketua Hakim John Roberts.
Beberapa hakim turut menegaskan kuasa mengenakan cukai adalah hak eksklusif Kongres, bukan presiden.
Peguam Neal Katyal, mewakili perniagaan kecil yang mencabar dasar itu, menyifatkan dakwaan bahawa Kongres memberi presiden kuasa mengubah keseluruhan sistem tarif sebagai “tidak munasabah.”
Mahkamah rendah sebelum ini mendapati beliau melampaui bidang kuasanya, mendorong kes ini dibawa ke Mahkamah Agung.
Penganalisis menjangka keputusan kes ini akan mengambil masa beberapa bulan, namun hasilnya boleh mengubah keseimbangan kuasa antara Kongres dan Presiden, serta memberi kesan besar terhadap ekonomi dan perdagangan global.
Menurut AFP, para hakim berusaha menjelaskan sama ada Kongres perlu memberikan kebenaran jelas bagi dasar yang mempunyai kesan ekonomi atau politik yang besar.
Peguam Negara John Sauer, yang mewakili pentadbiran Trump, berkata perkara itu tidak terpakai kerana presiden mempunyai kuasa semula jadi yang luas.
Menurutnya, Trump menilai bahawa defisit perdagangan yang semakin membimbangkan telah membawa negara ke ambang bencana ekonomi dan keselamatan.
Sauer menegaskan bahawa isu ini berkaitan dengan kuasa untuk mengawal perdagangan asing, termasuk kemampuan mengenakan tarif, dan bukannya kuasa untuk mengenakan cukai.
Sumber: France24 via AFP