Malaysia kembali menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Ke-17 (AHMM) yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 11 September ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan penganjuran AHMM Ke-17 itu membawa tema “Healthy ASEAN: Together Towards Equitable, Future-Ready Health Systems.”
Menurut kementerian itu, tema berkenaan mencerminkan komitmen bersama negara anggota ASEAN untuk membangunkan sistem kesihatan yang lebih saksama, berdaya tahan serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah mesyuarat berkenaan kira-kira 22 tahun lalu menerusi AHMM Ke-7 yang berlangsung di Pulau Pinang pada 2004.
Mesyuarat itu menjadi platform strategik bagi negara anggota ASEAN memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan awam, selain membincangkan pelbagai cabaran kesihatan di peringkat serantau.
Penganjuran AHMM Ke-17 turut membuka ruang untuk negara anggota ASEAN memperkukuh komitmen bersama dalam memastikan sistem kesihatan serantau kekal inklusif, berdaya tahan serta mampu memenuhi keperluan masa hadapan.

