Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Terus Pimpin Agenda Pekerjaan Hijau ASEAN, Pastikan Peralihan Ekonomi Tidak Pinggir Pekerja

Pekerjaan Hijau ASEAN
Kredit: ASEAN Green Jobs

Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memainkan peranan utama dalam memacu agenda pekerjaan hijau ASEAN, dengan memastikan peralihan ke arah ekonomi hijau bukan sahaja memenuhi tuntutan kelestarian, tetapi juga mewujudkan pekerjaan berkualiti serta melindungi kepentingan pekerja di seluruh rantau.

Malaysia Terus Pimpin Agenda Pekerjaan Hijau ASEAN

Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, berkata Malaysia telah diberi mandat untuk menerajui inisiatif ASEAN Green Jobs sejak mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Buruh ASEAN (SLOM) pada 2018.

Menurut beliau, peranan kepimpinan Malaysia itu kini diteruskan secara rasmi menerusi ASEAN Labour Ministers’ Work Programme 2026–2030, yang menetapkan Malaysia sebagai negara peneraju bagi projek-projek serantau berkaitan pekerjaan hijau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan intervensi Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-29 (29th ALMM) di Bangkok, Thailand, semalam. Mesyuarat tersebut berlangsung di Dusit Thani Bangkok pada 26 Ogos dan disertai delegasi Malaysia yang diketuai Ramanan selaku Menteri Sumber Manusia.

Ramanan berkata dua dokumen penting berkaitan agenda pekerjaan hijau berjaya dicapai sebagai sebahagian daripada deliverables Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Ia merangkumi ASEAN Framework and Action Plan (FAP) for a Just and Inclusive Transition to Green Jobs 2025–2030, yang menyediakan hala tuju strategik bagi ASEAN mengurus perubahan tenaga kerja susulan peralihan ekonomi hijau.

Selain itu, Joint Statement on Actionable Plan for Green Jobs Towards a Sustainable and Inclusive ASEAN Workforce turut menjadi antara pencapaian penting dalam memperkukuh tindakan bersama ASEAN bagi membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi perubahan ekonomi masa hadapan.

Kredit: ASEAN Green Jobs

“Peralihan kepada ekonomi hijau tidak boleh hanya dilihat dari sudut alam sekitar atau pelaburan. Kita perlu memastikan tenaga kerja ASEAN mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengisi pekerjaan baharu yang akan diwujudkan.

“Pada masa yang sama, peralihan ini mesti dilaksanakan secara adil dan inklusif supaya tiada pekerja atau kelompok masyarakat yang tercicir daripada perubahan ekonomi yang sedang berlaku,” katanya.

Ramanan turut memaklumkan kejayaan Malaysia menganjurkan ASEAN Green Jobs Forum (AGJF) 2025 di Putrajaya yang menghimpunkan lebih 450 delegasi dengan memberi tumpuan kepada tema “AI, Digitalisation and Green Jobs”.

Menurut beliau, forum berkenaan berjaya mengalihkan perbincangan serantau daripada sekadar dasar kepada perancangan pelaksanaan yang lebih konkrit.

Kredit: ASEAN Green Jobs

Antara keutamaan yang dikenal pasti ialah pembangunan bersama taksonomi pekerjaan dan kemahiran hijau ASEAN yang boleh dipadankan dengan ASEAN Qualifications Reference Framework (AQRF), di samping memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemudah cara dalam latihan dan pembangunan kemahiran.

Turut diberi perhatian ialah pemodenan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama lebih rapat dengan industri, sokongan ESG yang bersasar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta memastikan peluang pekerjaan baharu turut dapat dimanfaatkan oleh wanita, belia dan pekerja sektor tidak formal.

Ramanan berkata usaha tersebut penting bagi memastikan agenda pekerjaan hijau tidak bergerak secara terasing, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pembangunan tenaga kerja ASEAN dalam menghadapi perubahan teknologi, digitalisasi dan transformasi industri.

Kredit: ASEAN Green Jobs

Dalam perkembangan sama, Malaysia menyatakan sokongan terhadap Filipina yang akan menjadi tuan rumah ASEAN Green Jobs Forum 2026 di Manila pada Oktober ini.

Ramanan berkata penganjuran AGJF secara bergilir mengikut Kepengerusian ASEAN merupakan perkembangan positif kerana ia menjadikan agenda pekerjaan hijau satu tanggungjawab bersama negara anggota.

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah AGJF pada 2024 dan 2025.

“Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan Filipina bagi memastikan AGJF 2026 menghasilkan tindakan yang bermakna dalam pelaksanaan ASEAN Framework and Action Plan 2025–2030.

Intipati
  • Malaysia ditetapkan sebagai peneraju projek pekerjaan hijau ASEAN dalam program kerja 2026–2030.
  • Dua dokumen agenda hijau menjadi deliverables Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, menurut Ramanan Ramakrishnan.
  • AGJF 2025 menghimpunkan lebih 450 delegasi, menumpukan AI, digitalisasi dan pekerjaan hijau.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan