Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Manchester United: Lima Pemain Mahu ‘Angkat Kaki’

Hannah
pemain united angkat kaki
Gambar: AFP

Manchester United: Lima Pemain Mahu ‘Angkat Kaki’

Manchester United kini berdepan cabaran besar menjelang musim baharu apabila lima pemain utama mereka dilaporkan mahu meninggalkan kelab.

Menurut Sky Sport, lima pemain tersebut adalah Antony, Alejandro Garnacho, Tyrell Malacia, Marcus Rashford dan Jadon Sancho.

Malah, mereka dilaporkan telah memaklumkan kepada kelab tentang hasrat untuk mencari haluan baharu selepas kerap diketepikan dalam perlawanan penting.

Sebagai respons terhadap situasi tersebut, pihak kelab telah mengubah pendekatan menjelang pramusim.

Kelima-lima pemain yang mengemukakan permintaan perpindahan tidak akan menyertai skuad utama dalam masa terdekat.

Sebaliknya, mereka diberi lebih masa untuk mempertimbangkan masa depan dan berbincang dengan kelab-kelab yang berminat.

Manchester United juga mengesahkan bahawa fasiliti perubatan dan pemulihan tetap terbuka untuk lima pemain terbabit, selain sokongan secara maya turut disediakan.

Sekiranya mereka kekal bersama kelab selepas jendela perpindahan ditutup, kelima-lima pemain ini akan diterima semula di pusat latihan Carrington dan dibenarkan menyertai latihan penuh seperti biasa.

BACA: Piala Remaja Asia: Malaysia ‘Belasah’ Indonesia 10-0

Rashford, 27, dilaporkan berhasrat untuk berhijrah ke FC Barcelona. Walaupun tiada sebarang tawaran rasmi diterima setakat ini, pemain antarabangsa England itu tetap optimis dengan peluang untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Bagaimanapun, Rashford tidak berminat untuk berpindah ke kelab yang berpangkalan di London dan enggan terlibat dalam sebarang pertukaran pemain.

Seorang lagi pemain, Antony, yang dipinjamkan ke Real Betis musim lalu, turut menjadi perhatian beberapa kelab. Real Betis dikatakan mahu mendapatkan semula pemain Brazil itu, namun kekangan kewangan menjadi penghalang.

Kelab Serie A, Como, juga menunjukkan minat, tetapi Antony dilaporkan lebih cenderung untuk kembali ke Sepanyol.

Menariknya, bekas pengurus United, Erik ten Hag yang kini mengendalikan Bayer Leverkusen, turut dikatakan memantau perkembangan ini.

Dalam masa yang sama, perpindahan Jadon Sancho ke Juventus mungkin menjadi titik permulaan kepada perubahan besar dalam skuad United.

Rundingan antara kedua-dua kelab kini sedang berlangsung, terutamanya berkaitan persetujuan terma peribadi dan nilai perpindahan.

Manchester United difahamkan meletakkan harga sekitar £25 juta bagi Sancho, satu angka yang cuba dipenuhi oleh kelab dari Turin itu.

Bagi Garnacho, masa depannya masih samar. Walaupun Chelsea dilaporkan memerhati rapat perkembangan pemain berusia 21 tahun itu, tiada tawaran rasmi dikemukakan setakat ini.

Garnacho jarang digunakan dalam penghujung musim lalu dan tidak tersenarai dalam skuad perlawanan terakhir menentang Aston Villa, sekaligus mencetuskan spekulasi mengenai hubungan dingin antara beliau dan kelab.

Tindakan hanya menurunkannya sebagai pemain gantian dalam final Liga Europa turut dianggap sebagai kemuncak ketegangan tersebut.

BACA: “Posting” Terbaru Lee Zii Jia Cetus Tanda Tanya

Ketika pengurus baharu, Ruben Amorim memulakan tugas pertama pramusimnya, beliau perlu berdepan cabaran rumit membabitkan lima pemain yang masa depannya masih belum menentu.

Namun begitu, pemain baharu, Matheus Cunha dijangka menyertai skuad seawal hari pertama latihan dan akan terbang ke Amerika Syarikat untuk siri jelajah pramusim yang melibatkan tiga perlawanan persahabatan.

Sumber: Goal.com, Sky Sport