Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memulakan pelaksanaan pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di kesemua 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara bermula 1 Januari depan.
Pengerusinya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai langkah permulaan, sebanyak 10 MRSM akan terlebih dahulu melaksanakan inisiatif tersebut bermula 1 Julai depan selepas proses pemilihan dan penyaringan selesai dilakukan sepanjang bulan ini.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan hasil kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).
Katanya, kajian berkenaan mendapati projek rintis penempatan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau berjaya meningkatkan tahap disiplin pelajar.
Malah, ujarnya, projek tersebut turut merekodkan sifar kes buli sepanjang tempoh pelaksanaannya.
“Moga usaha ini mampu meningkatkan lagi prestasi kecemerlangan MRSM dan sekali gus melahirkan generasi pelajar yang seimbang dan holistik dari segenap aspek,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, MARA melaksanakan projek rintis tersebut sebagai antara usaha membanteras isu buli serta memperkukuh aspek disiplin dan keselamatan di asrama MRSM.