Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mengapa Anggapan “Saya Masih Muda” Boleh Jadi Satu Risiko Kepada Kesihatan Jantung

JANTUNG
Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr Rosli Mohd Ali.

Mengapa Anggapan “Saya Masih Muda” Boleh Jadi Satu Risiko Kepada Kesihatan Jantung

Rakyat Malaysia mengalami serangan jantung 10 tahun lebih awal berbanding penduduk di negara maju. Namun begitu, ramai orang muda masih menganggap penyakit jantung hanya berlaku pada usia tua.

“Penyakit jantung? Saya masih muda, tidak perlu risau lagi.” 

Menurut pakar perunding kardiologi Datuk Dr Rosli Mohd Ali, tanggapan seperti inilah yang terus menjadi antara halangan utama untuk meningkatkan tahap kesihatan jantung di Malaysia.

“Rakyat Malaysia kini mengalami serangan jantung pada usia yang lebih muda, iaitu sekitar 10 tahun lebih awal berbanding purata global. Keadaan ini telah berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan tidak mungkin berubah jika rakyat Malaysia tidak mengubah sikap mereka terhadap kesihatan jantung,” katanya.

Trend ini dapat dilihat dalam data kardiovaskular kebangsaan, yang menunjukkan kira-kira satu daripada empat pesakit sindrom koronari akut berusia di bawah 50 tahun.

Pada masa yang sama, penyakit jantung terus mengekalkan kedudukannya sebagai punca utama kematian di Malaysia selama hampir dua dekad.

“Walaupun penyakit kardiovaskular mungkin bukan penyumbang terbesar kepada jumlah kemasukan ke hospital, penyakit jantung dan strok kekal antara punca utama kematian,” kata Datuk Dr Rosli.

Risiko Tersembunyi LDL-C

Salah satu sebab penyakit jantung sering berlaku tanpa disedari ialah peningkatan paras kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL-C), atau lebih dikenali sebagai ‘kolesterol jahat’, yang berlaku dalam senyap selama bertahun-tahun tanpa menunjukkan sebarang gejala.

LDL-C menyumbang kepada pembentukan mendapan lemak, atau plak, di dalam salur darah. Lama kelamaan, plak ini boleh menyempitkan salur darah dan meningkatkan risiko mendapat serangan jantung atau strok.

Ramai orang hanya mengaitkan masalah kolesterol tinggi dengan pemakanan tidak sihat, tetapi Datuk Dr Rosli menjelaskan bahawa faktor genetik dan metabolisme kolesterol turut memainkan peranan penting dalam perkara ini.

Paras LDL-C setiap individu dipengaruhi oleh jumlah kolesterol yang dihasilkan dan disingkirkan oleh badan, yang melibatkan faktor seperti metabolisme hati dan faktor genetik lain, termasuk keadaan yang diwarisi atau kecenderungan genetik dalam keluarga.

Menjelaskan lebih lanjut, Datuk Dr Rosli berkata,

“Sebahagian besar LDL-C sebenarnya dihasilkan oleh badan. Dalam sesetengah individu yang secara semula jadi menghasilkan lebih banyak kolesterol berbanding orang lain disebabkan faktor genetik, penyakit jantung dan strok mungkin berlaku pada usia yang jauh lebih muda.”

“Pemakanan juga merupakan aspek yang sangat penting, khususnya diet yang tinggi kandungan lemak tepu dan lemak trans. Ia boleh merangsang hati untuk menghasilkan lebih banyak LDL-C, yang seterusnya akan meningkatkan paras kolesterol dan risiko penyakit kardiovaskular.” 

“Namun begitu, faktor gaya hidup sahaja mungkin tidak dapat menjelaskan sepenuhnya mengapa sesetengah orang yang kelihatan sihat boleh menghidap penyakit kardiovaskular. Justeru, anggapan bahawa seseorang itu semestinya sihat hanya kerana berasa sihat boleh menjadi satu salah faham yang besar,” tambah beliau.

Apabila Penyakit Jantung Menyerang Orang Muda

Antara pesakit termuda yang pernah ditemui Datuk Dr Rosli ialah remaja yang baru berusia 18 tahun.

Remaja itu mendapatkan rawatan selepas mengalami ketidakselesaan di dada. Siasatan lanjut menunjukkan terdapat sejarah penyakit jantung pada usia muda dalam keluarganya. Bapanya menghidap penyakit jantung pada usia 30-an dan meninggal dunia secara mengejut, bahkan beberapa adik-beradiknya turut didiagnosis mempunyai penyakit kardiovaskular pada usia muda.

“Dalam kes beliau, latar belakang kesihatan keluarga mungkin merupakan salah satu faktor,” kata Datuk Dr Rosli. “Kes sebegini mengingatkan kita bahawa risiko kardiovaskular tidak semestinya dapat dilihat dan ia tidak hanya berlaku pada orang yang lebih berusia.”

Namun, pada masa sama, keadaan luaran seseorang tidak semestinya menggambarkan tahap kesihatannya yang sebenar.

Baru-baru ini, Datuk Dr Rosli merawat seorang ahli sukan berusia 40 tahun yang kerap bersenam, mengekalkan berat badan yang sihat dan percaya beliau mengamalkan gaya hidup yang betul.

“Beliau memberitahu saya bahawa beliau cukup menjaga pemakanannya dan selalu bersenam. Secara amnya, beliau amat mementingkan kesihatannya. Tetapi apabila pemeriksaan lanjut dijalankan, kami mendapati ada beberapa sumbatan ketara pada arteri koronarinya.” 

Pengalaman itu mengingatkan kita kepada satu hakikat penting: berbadan langsing, aktif secara fizikal, atau kelihatan sihat tidak semestinya bermakna seseorang itu terlindung daripada penyakit jantung.

“Anda tidak akan tahu risiko kardiovaskular anda sehinggalah anda menjalani pemeriksaan,” tambahnya.

Pencegahan Bermula dengan Mengetahui Risiko Anda

Bagi masyarakat umum, asas penjagaan kesihatan jantung kekal tidak berubah: amalkan pemakanan sihat, bersenam secara berkala, capai dan kekalkan berat badan yang sihat, elakkan merokok, serta pastikan faktor-faktor risiko utama penyakit kardiovaskular dipantau secara berkala dan dikawal dengan baik.

Bagaimanapun, Datuk Dr Rosli menegaskan bahawa individu yang mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung pramatang, diabetes, hipertensi, obesiti atau sejarah merokok mungkin memerlukan saringan yang lebih awal dan lebih kerap.

Garis panduan Malaysia menyarankan saringan kolesterol bagi semua orang dewasa berumur 30 tahun ke atas, manakala mereka yang berisiko tinggi mendapat penyakit kardiovaskular pula disarankan untuk memulakan saringan seawal usia 18 tahun. Walaupun saranan saringan ini berbeza mengikut risiko individu, Datuk Dr Rosli berpendapat rakyat Malaysia perlu menjadi lebih proaktif dalam memahami tahap kesihatan kardiovaskular mereka.

“Jika anda mempunyai faktor risiko yang ketara atau sejarah keluarga menghidap penyakit jantung, jangan tunggu sehingga anda mengalami kejadian kardiovaskular. Jalani pemeriksaan lebih awal.”

Penilaian awal biasanya merangkumi ujian kolesterol, ukuran tekanan darah dan saringan diabetes. Doktor kemudiannya boleh menilai risiko kardiovaskular keseluruhan seseorang dan menentukan sama ada pemeriksaan tambahan diperlukan.

Untuk individu yang berisiko tinggi, ujian lanjut mungkin dipertimbangkan untuk mengesan tanda-tanda awal penyakit kardiovaskular.

Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr Rosli Mohd Ali.

Tiga Tonggak Kesihatan Jantung

Menguruskan LDL-C secara berkesan memerlukan lebih daripada satu intervensi.

Datuk Dr Rosli menekankan pendekatan menyeluruh dalam penjagaan kesihatan jantung, dengan menggabungkan pemakanan sihat, aktiviti fizikal berkala dan rawatan perubatan yang sesuai bagi mengurangkan risiko kardiovaskular.

“Ketiga-tiga komponen ini tidak sepatutnya dilihat secara berasingan. Perubahan gaya hidup kekal sebagai asas, tetapi bagi sesetengah orang, rawatan tambahan mungkin diperlukan untuk membantu mencapai dan mengekalkan paras LDL-C yang disarankan.”

Setiap pesakit mempunyai profil risiko kardiovaskular dan sasaran paras LDL-C yang berbeza. Garis panduan semasa secara umumnya menasihatkan supaya paras LDL-C berada di bawah 1.8 mmol/L bagi individu berisiko tinggi dan di bawah 1.4 mmol/L bagi mereka yang berisiko sangat tinggi. 6

“Lebih awal paras LDL-C dikawal, lebih rendah parasnya dapat dikekalkan, dan lebih lama ia berada dalam keadaan terkawal, maka lebih baik kesannya terhadap kesihatan jangka panjang,” katanya.

Kekal di Landasan

Antara cabaran terbesar dalam pengurusan kolesterol adalah paras LDL-C yang tinggi biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala, dan keadaan ini menyebabkan sesetengah individu sukar untuk memahami kepentingan pengurusan jangka panjang. 

Beliau percaya pesakit yang berpengetahuan biasanya lebih berjaya dalam pengurusan kesihatan mereka.

“Pesakit yang bertanya soalan dan memahami keadaan diri sendiri biasanya lebih komited dalam menguruskan masalah kesihatan mereka.” 

Penentuan rawatan pula perlu disesuaikan mengikut keadaan setiap individu berdasarkan risiko kardiovaskular, paras LDL-C dan matlamat rawatan. Walaupun langkah-langkah perubahan gaya hidup kekal sebagai asas kesihatan jantung, namun pengamal penjagaan kesihatan mungkin mengesyorkan terapi penurunan kolesterol bagi individu yang memerlukan pengurangan LDL-C tambahan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Datuk Dr Rosli menjelaskan bahawa jika rawatan diperlukan, adalah lebih baik untuk memulakannya lebih awal dan bukannya kemudian. Begitu juga, semakin tinggi risiko seseorang, semakin rendah paras LDL-C yang perlu dicapai bagi mencegah kejadian kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.6

Garis panduan mencadangkan statin sebagai rawatan barisan pertama, dengan kemungkinan penggunaan terapi kombinasi bagi memastikan sasaran LDL-C yang diperlukan dapat dicapai. Bagi mereka yang paras LDL-C masih melebihi sasaran yang disyorkan walaupun telah menjalani terapi penurun lipid secara oral, atau yang tidak dapat menerima statin, doktor mungkin mempertimbangkan terapi suntikan.

“Jangan ambil mudah atau terus mengabaikan tahap kesihatan anda,” nasihatnya. “Penyakit jantung mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala selama bertahun-tahun. Satu-satunya cara untuk mengetahuinya adalah dengan menjalani pemeriksaan, memahami risiko anda dan berbincang dengan doktor tentang cara terbaik untuk melindungi kesihatan jantung anda.”

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang risiko kardiovaskular anda, kunjungi laman mikro Unblocked Movement di https://unblockedmovement.my/ dan berbincanglah dengan pakar penjagaan kesihatan bagi mendapatkan nasihat berkaitan penilaian risiko kardiovaskular dan penjagaan kesihatan jantung jangka panjang.

Perhatian: Artikel ini ditulis untuk tujuan pendidikan umum dan ia tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan. Pandangan yang dinyatakan oleh pakar penjagaan kesihatan yang ditemu bual adalah berdasarkan pengalaman klinikal dan pendapatnya sendiri, dan tidak dipengaruhi oleh pihak ketiga. Sila dapatkan nasihat daripada pakar perubatan bertauliah untuk penilaian risiko kardiovaskular individu dan pilihan rawatan yang bersesuaian dengan anda.

Intipati
  • Rakyat Malaysia mengalami serangan jantung kira-kira 10 tahun lebih awal berbanding negara maju.
  • LDL-C tinggi boleh berlaku tanpa gejala dan meningkatkan risiko serangan jantung serta strok.
  • Saringan awal disarankan bagi individu berisiko, termasuk yang mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan