Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Menu Sahur, Cuba 5 Resipi Nasi Goreng Mudah & Lazat

Azzwin
nasi goreng

Menu Sahur, Cuba 5 Resipi Nasi Goreng Mudah & Lazat

Sahur merupakan satu amalan penting dalam bulan Ramadan kerana ia membekalkan tenaga sepanjang hari bagi mengekalkan kecergasan dan fokus.

Tidak dinafikan, nasi goreng sering menjadi pilihan paling mudah bagi orang yang sudah berkahwin, berkeluarga mahupun bujang.

Hari ini, SK akan kongsikan lima idea resipi nasi goreng menyelerakan yang anda boleh cuba sepanjang bulan puasa.

1. Nasi goreng ala Thai

Untuk makluman pembaca, resipi nasi goreng ala Thai ini dikongsikan oleh @Khairul Aming melalui TikTok.

Hidangan ini ada rasa masam, manis dan pedas yang seimbang, sesuai untuk mereka yang ingin mencuba kelainan pada nasi goreng biasa.

Bahan-bahan nasi goreng:

  • Sebiji bawang merah

  • Dua ulas bawang putih

  • Dua biji cili padi merah

  • Dua biji cili padi hijau

  • Belacan yang telah dibakar

  • Setengah sudu sos tiram

  • Satu sudu kicap manis

  • Garam secukup rasa

  • Serbuk perasa secukupnya

Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Bahan-bahan untuk menyediakan ayam:

  • Sebiji bawang merah

  • Dua ulas bawang putih

  • Isi ayam yang dipotong kecil

  • Setengah sudu sos tiram

  • Satu sudu kicap manis

  • Setengah sudu kicap pekat

  • Setengah sudu sos ikan

  • Serbuk perasa secukupnya

  • Gula secukup rasa

  • Sedikit tepung jagung

  • Kacang panjang, dipotong

  • Cili padi yang dihiris

  • Bawang merah yang dihiris

Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Cara penyediaan nasi goreng:

  1. Mula-mula, tumbuk sebiji bawang merah, dua ulas bawang putih, dua biji cili padi merah, dua biji cili padi hijau serta belacan yang telah dibakar sehingga semuanya lumat dan sebati.

  2. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali lalu pecahkan telur dan goreng nipis secara rata. Masak seketika sahaja, kemudian gulung telur tersebut dan ketepikan.

  3. Menggunakan minyak yang sama, tumis bahan tumbuk tadi sehingga naik bau dan sedikit garing.

  4. Masukkan nasi putih ke dalam kuali dan gaulkan sehingga rata bersama tumisan belacan.

  5. Tambahkan setengah sudu sos tiram, satu sudu kicap manis, garam secukup rasa dan serbuk perasa secukupnya.

  6. Gaul dan goreng sehingga semua bahan sebati.

Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Cara penyediaan ayam:

  1. Dalam minyak yang sama digunakan untuk memasak nasi tadi, tumis sebiji bawang merah dan dua ulas bawang putih sehingga wangi. Kemudian masukkan isi ayam yang telah dipotong kecil dan tumis sehingga ayam berubah warna.

  2. Tambahkan sedikit air bersama setengah sudu sos tiram, satu sudu kicap manis, setengah sudu kicap pekat dan setengah sudu sos ikan. Gaulkan sehingga rata dan biarkan ayam masak.

  3. Masukkan gula secukup rasa dan tuangkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah. Kacau sehingga kuah menjadi sedikit pekat dan berkilat.

  4. Setelah siap, angkat dan ketepikan.

  5. Untuk penyediaan akhir, hidangkan nasi goreng dan ayam di atas pinggan. Taburkan cili padi dan bawang merah yang telah dihiris, serta letakkan telur gulung di atas nasi.

2. Nasi goreng kerabu

Seterusnya, resipi ini diambil daripada pengguna @cikmel_masak melalui TikTok.

Rasa segar dan wangi ini menjadikan pilihan yang menarik jika anda gemar dengan masakan tradisional Melayu.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Empat ulas bawang putih

  • Dua batang serai, diketuk

  • Tiga biji cili padi

  • Segenggam ikan bilis

  • Tiga sudu sos tiram

  • Sotong yang telah dipotong

  • Bunga kantan yang dihiris nipis

  • Kacang panjang yang dipotong kecil

  • Garam

  • Gula

  • Satu kiub pati ayam

Kredit: @cikmel_masak

Cara-cara penyediaan:

  1. Mula-mula, panaskan minyak di dalam kuali lalu masukkan empat ulas bawang putih, dua batang serai, tiga biji cili padi dan segenggam ikan bilis yang telah dicincang halus. Tumis sehingga naik bau dan sedikit garing.

  2. Setelah bahan tumisan garing, masukkan tiga sudu sos tiram dan kacau sebati.

  3. Kemudian, masukkan sotong yang telah dipotong dan masak seketika sehingga sotong separuh masak.

  4. Seterusnya, masukkan bunga kantan yang telah dihiris nipis diikuti dengan nasi sejuk. Gaulkan sehingga nasi bercampur rata dengan bahan tumisan.

  5. Tambahkan kacang panjang yang dipotong kecil, garam, gula serta kiub pati ayam secukup rasa.

  6. Gaul sehingga semua bahan menjadi sebati dan masak dengan sempurna.

3. Nasi goreng sardin

Seterusnya, resipi nasi goreng sardin ini dikongsikan oleh pengguna TikTok @itsaddiniii.

Resipi ini paling sesuai untuk golongan bujang atau sesiapa yang ingin berjimat, kerana mudah disediakan, ringkas dan tetap lazat walaupun menggunakan bahan yang minimum.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Tiga ulas bawang putih yang dicincang

  • Tiga biji bawang merah kecil yang dicincang

  • Cili kisar

  • Ikan sardin dalam tin

  • Kicap manis

  • Sos tiram

  • Satu kiub pati ayam

  • Serbuk perasa

  • Tiga biji telur

  • Kacang panjang yang dipotong kecil

  • Cili padi yang dihiris

Kredit: @itsaddiniii

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan tiga ulas bawang putih dan tiga biji bawang merah kecil yang telah dicincang halus ke dalam minyak manas, kemudian tumis seketika sehingga naik bau.

  2. Masukkan cili kisar dan gaul rata lalu masak sehingga pecah minyak dan tidak lagi berbau mentah.

  3. Seterusnya, masukkan ikan sardin dalam tin dan lenyekkan sehingga hancur serta sebati dengan bahan tumisan.

  4. Tambahkan kicap manis, sos tiram, kiub pati ayam dan serbuk perasa. Gaulkan sehingga semua bahan bercampur rata.

  5. Pecahkan tiga biji telur ke dalam kuali dan kacau sehingga telur masak serta bersalut bersama sardin.

  6. Masukkan kacang panjang yang telah dipotong kecil dan cili padi, kemudian gaul sebati.

  7. Akhir sekali, masukkan nasi sejuk dan gaulkan sehingga semua bahan bercampur rata.

4. Nasi goreng cili kering

Resipi keempat ini pula dikongsikan oleh @Khairul Aming melalui TikTok.

Nasi goreng ini mempunyai aroma cili kering yang menyelerakan, sesuai untuk mereka yang gemar hidangan pedas.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Sebiji bawang merah

  • Satu sudu udang kering, direndam terlebih dahulu

  • Segenggam ikan bilis

  • Empat ulas bawang putih

  • Belacan yang telah dibakar

  • Segenggam cili kering

  • Udang segar secukupnya

  • Dua biji telur

  • Satu sudu kicap manis

  • Satu sudu sos tiram

  • Satu sudu kecil serbuk perasa

  • Sayur sawi yang dipotong

Kredit: @Khairul Aming via TikTok

Cara-cara penyediaan:

  1. Tumbuk sebiji bawang merah, satu sudu udang kering yang telah direndam, segenggam ikan bilis, empat ulas bawang putih, belacan yang telah dibakar serta segenggam cili kering sehingga lumat dan sebati.

  2. Kemudian tumis bahan tumbuk tadi di dalam minyak panas sehingga naik bau. Masukkan udang dan gaulkan sehingga udang masak sepenuhnya.

  3. Pecahkan dua biji telur ke dalam kuali dan kacau sehingga telur hancur serta masak bersama bahan tumisan.

  4. Masukkan nasi dan gaulkan rata. Tambahkan satu sudu kicap manis, satu sudu sos tiram dan satu sudu kecil serbuk perasa, kemudian gaul sehingga semua bahan sebati.

  5. Akhir sekali, masukkan sayur sawi yang telah dipotong dan gaulkan sehingga layu.

  6. Setelah masak sekata, angkat dan sedia untuk dihidangkan.

5. Nasi goreng Din Tai Fung

Untuk makluman pembaca, resipi ini dikongsikan oleh pengguna TikTok @bynursyuu.

Hidangan ini mempunyai rasa yang ringan dan sesuai untuk semua peringkat umur.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Tiga perempat pot nasi

  • 300 gram udang

  • Tiga sudu makan minyak bijan

  • Satu labu bawang putih yang dicincang halus

  • Tiga biji telur

  • Daun bawang yang dihiris

  • Satu sudu lada putih

  • Garam dan serbuk perasa secukup rasa

Kredit: @bynursyuu

Cara-cara penyediaan:

  1. Dalam mangkuk kecil, gaulkan udang dengan lada putih dan garam dalam minyak yang panas, kemudian goreng udang sehingga masak lalu angkat dan ketepikan.

  2. Dalam kuali yang sama, panaskan minyak bijan lalu masukkan bawang putih dan daun bawang yang telah dihiris, kemudian tumis sekejap sehingga wangi.

  3. Pecahkan tiga biji telur ke dalam kuali, goreng dan hancurkan sehingga masak sepenuhnya.

  4. Masukkan nasi sejuk bersama garam, serbuk perasa dan lada putih. Gaul rata sehingga semua bahan sebati.

  5. Akhir sekali, masukkan daun bawang yang dihiris dan udang yang telah digoreng tadi dan gaulkan sehingga sebati.