Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

METMalaysia Keluar Amaran Hujan Lebat Di 5 Negeri, 1 Wilayah Hingga Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lima buah negeri dan satu Wilayah sehingga jam 5 petang ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook, amaran berkenaan dikeluarkan untuk seluruh kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Hujan lebat diramal berlaku melibatkan daerah Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak.
METMalaysia menjangkakan cuaca buruk melanda sekitar daerah di Pahang seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan.
Selain itu, amaran berkenaan turut melibatkan kawasan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat di Selangor.
Beralih ke Sarawak, ia melibatkan daerah Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu dan Miri (Subis dan Miri).
Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda kawasan Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau (Tawau), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat di Sabah.
METMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata hantaran itu.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.