Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MSN Sentiasa Sokong Perancangan LA2028 Azizulhasni, Dakwaan Tidak Bertanggungjawab

Perancangan LA2028 Azizulhasni
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Dakwaan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) tidak menghiraukan perancangan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang atau tidak menghargai jasa dan sumbangan beliau selama ini, adalah suatu yang tidak bertanggungjawab.

MSN dalam kenyataan hari ini memaklumkan badan induk itu, sentiasa teguh menyokong The Pocket Rocketman dan semua perancangan dibuatnya, terutama mengenai langkah persiapan ke arah temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

Menurut kenyataan itu pendirian tersebut telah dinyatakan kepada atlet berkenaan, semenjak persoalan mengenainya timbul sebelum dan selepas temasya Sukan Komanwel Glasgow baru-baru ini, menerusi beberapa siri pertemuan membabitkan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin dan beberapa pegawai kanan MSN yang lain bersama-sama atlet berkenaan.

“Malah pihak MSN telah mengadakan perbincangan bersama dengan Persekutuan Berbasikal Malaysia pada 7 Julai, bagi membincangkan Olympic Pathway yang melibatkan pelumba kebangsaan termasuklah keperluan Mohd Azizulhasni selaku peneraju utama, bagi mengumpulkan mata kelayakan yang dinyatakan oleh beliau.

“Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari selaku Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN juga ada bertanyakan kepada Mohd Azizulhasni, mengenai persiapan dan perancangan beliau ketika sambutan kepulangan Kontinjen Malaysia daripada Sukan Komanwel dan sentiasa mengambil tahu perkembangan membabitkan beliau dan menyokong kuat segala keputusan dan bantuan untuk beliau,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan Mohd Azizulhasni telah memaklumkan beliau sudah mula merancang untuk Sukan Olimpik 2028, tetapi belum lagi memuktamadkan perancangan beliau ketika pertemuan dengan Ketua Program Road to Gold Akmal Ahmad Zainuddin, Ketua Program Podium Halif Asro Ramzi Sulaiman dan Ketua Cawangan Sains Sukan Institut Sukan Negara Mohd Izham Mohamad pada 13 Ogos.

MSN memaklumkan ketika itu, Mohd Azizulhasni telah membangkitkan beberapa elemen penting sebagai keperluan yang diperlukan dan badan induk itu dalam pertemuan sama, menyatakan persetujuan terhadap semua permohonan termasuk beberapa lagi permintaan tambahan, dan butiran minit pertemuan telah dikongsikan dengan pengurusan tertinggi MSN dan KBS.

Pertemuan itu juga memperteguh lagi sokongan kepada Mohd Azizulhasni dan cadangan pemberian geran kepadanya akan diteruskan seperti amalan sebelumnya, dengan MSN bersetuju semua penyertaan ke kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia, akan ditanggung oleh MSN secara berpasukan.

“Yang Berhormat Menteri juga telah segera membawa soal perancangan dan keperluan untuk meneruskan sokongan penuh kepada Mohd Azizulhasni, pada mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos dan mendapat persetujuan dari semua ahli lembaga pengarah MSN pada mesyuarat yang sama.

“Seterusnya, satu e-mel telah dihantar kepada Mohd Azizulhasni pada 27 Ogos bagi membolehkan hasil perbincangan itu dimuktamadkan. Tujuannya supaya Mohd Azizulhasni dapat mengemukakan pelan lengkap perancangan program beserta anggaran belanja untuk menjamin peruntukan MSN,” katanya.

Peruntukan MSN itu merangkumi pelan latihan dan pertandingan sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028; sasaran prestasi, petunjuk prestasi utama dan laluan kelayakan Olimpik; pembahagian fasa latihan antara Kuala Lumpur dan Melbourne; keperluan jurulatih serta pasukan sokongan; keperluan sains sukan dan perubatan; keperluan fasiliti, peralatan dan logistik; dan anggaran perbelanjaan terperinci bagi setiap tahun pelaksanaan program.

“Setelah mendapat balasan daripada Datuk Azizulhasni ini nanti, barulah MSN akan dapat melaksanakan langkah dan proses perlu, bagi menjamin peruntukan kepada Datuk Azizulhasni sepanjang kempen kelayakan sebagaimana perancangan yang dibentangkan di dalam Olympic Pathway tempohari,” menurut kenyataan itu.

MSN dalam kenyataan sama, melahirkan perasaan terkejut apabila jurulatih John Beasley membuat kenyataan tiada sebarang perbincangan mengenai perancangan masa depan Mohd Azizulhasni dilakukan, apabila atlet berkenaan bersetuju pengumuman program latihan ke Sukan Olimpik hanya akan dibuat secara bersama-sama oleh beliau dan MSN, selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, pada 14 hingga 18 Okt ini.

MSN menghormati permintaan itu demi memastikan fokus dan persiapan Datuk Azizulhasni tidak terjejas, sebelum temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya pada September ini.

Mohd Azizulhasni Awang semalam tampil dengan penjelasan sembilan muka surat bagi memperincikan proses kelayakan ke Sukan Olimpik LA 2028, selain menjelaskan pendiriannya mengenai masa depan kariernya.

Beliau berkata penjelasan sembilan muka surat itu merupakan usahanya menjawab segala persoalan yang selama ini bermain di fikirannya, selain mahu KBS dan MSN memberikan jawapan jelas mengenai kedudukannya dalam misi Malaysia ke LA28.

Intipati
  • MSN menolak dakwaan pihaknya tidak menghiraukan perancangan Azizulhasni menuju Sukan Olimpik LA2028.
  • Beberapa pertemuan diadakan bagi membincangkan Olympic Pathway, keperluan latihan dan mata kelayakan.
  • MSN meminta Azizulhasni mengemukakan pelan lengkap sebelum proses peruntukan dapat dimuktamadkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan