“Muka, Kaki & Tangan Dah Pucat,” Lelaki Kongsi Detik Pilu Saat Kehilangan Isteri
Tiada siapa yang benar-benar bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya terutama kepada insan yang dicintai.
'Pemergian' mereka tentunya bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, apatah lagi bila ia berlaku secara tiba-tiba.
Namun, yakinlah bahawa setiap apa yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Walaupun perit untuk dilalui, hakikat kehilangan tetap perlu diterima dengan hati yang terbuka.
Baru-baru ini, tular perkongsian seorang pengguna Facebook, Ahmad Ahmad, mengenai pemergian arwah isterinya selepas terlibat dalam satu kemalangan pada Selasa.
Ahmad menukilkan detik-detik terakhir ketika dia bersama isterinya sebelum disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, dia reda dengan apa yang telah berlaku dan mendoakan yang terbaik buat arwah isteri syurganya.
Ikuti kisahnya lebih lanjut di bawah ini:
Babah cintakan umi kerana Allah
Pagi itu , selasa 14/4/2026
Dakapan terakhir kuat erat, sebelum masing-masing keluar menjalankan tugas dunia
Hari tu penghabisan dunia untuk beliau, mungkin beliau tahu, mungkin.
Sejadah dan telekung bilik selepas selesai zohor terakhir beliau juga aku biarkan, terletak elok di situ sampai saat ini.
Lebih kurang jam 3 aku call
“Babah on the way balik ni, babah angkut la abang youk dengan adik sekali”
“Eh tak apa bah nanti umi nak amek”
Biasa kami selalu tengok sapa-sapa cepat balik dia la amek kadang kalau dua-dua tak sempat tumpang Yati, isteri Ajib kadang kakak amek si Farouk.
Aku ok je la, aku terus balik rumah.
Sampai rumah siap-siap nak ke asa , kebiasaan kalau balik kerja awal memang aku suka pergi masjid awal sikit, baring-baring jap kat penjuru belakang kanan port favourite kat masjid sebelum aku nak azan asar.
Bunyi enjin kereta, Farouk masuk rumah, tapi bunyi kereta keluar balik dari garaj, ”eh mana adik mana umi?”
“Umi lupa nak singgah amek tadi, umi keluar balik amek adik”
“Oh okay youk”
Biasanya lepas ambil Farouk balik sekolah agama 3.30 akan terus singgah rumah Mak Nah, pengasuh Fahri, sebab sejalan. Tapi kali ni pelik. Umi lupa.
Selang beberapa minit, dalam jam 3.53 petang, kawan sekampung aku panggil macha aka Azri Mostapa call.
“Mat , kau datang simpang mat sekarang! Bini kau excident”
Selalu kalau aku dapat berita siapa-siapa kemalangan atau apa-apa kecelakaan aku ni kelam kelibut, serius tanya la semua aku ni memang jenis clumsy! Super clumsy.
Tapi petang tu aku macam …macam mana ya nak describe perasaan aku, macam , macam kau rasa ada satu little boy aka atom hiroshima dah menuju tepat ke kepala engkau tapi kau stay.
Kau macam “biar la, aku pasrah je lah..”
Aku capai kunci vespa, aku tinggal je Farouk kat rumah tak cakap apa-apa ,aku rasa dia tengah mengunyah karipap ale ale masa tu, aku terus ke simpang tempat kejadian, lebih kurang sekilo je dari rumah.
Aku double stand motor, pergi ke kereta aku namakan dia Fred, dah 13 tahun umur Fred. Umi dalam kereta dan orang awam tolong nak keluarkan, mungkin ada tersepit kaki umi, akhirnya berjaya keluarkan kaki umi, aku terus rangkul dia.
Kaki aku yang retak tu aku lupa, aku lupa kaki aku sakit, ada satu bunyi dekat ankle aku, prap! Kuasa Allah, kaki aku boleh menapak tanpa rasa sakit dan denyut. Betul, kuasa Allah kun faya kun, kita semua wajib Imani!
Aku duduk dekat situ aku riba umi. Aku rasa nadi dia, jantung dia, hati kecil aku “umi….”
Mata dah tertutup, muka kaki tangan dah pucat, aku tanya orang awam dah call 999 depa kata dah, aku tanya boleh tak hantar terus tak payah tunggu?
Wak hamid, bapak Diana, kawan aku, rumah paling hampir dengan tempat kejadian terus drive Alza dia, aku angkat umi masuk kereta duduk kerusi belakang dengan bantuan orang awam.
Terima kasih Diana dan orang awam jagakan aurat isteri.
Aku gerak ke hospital Pontian, aku , wak hamid, umi.
Aku pangku umi, aku tenung muka dia. Tenung sedalam-dalamnya, aku tengok kaki tangan muka apa semua, tak ada darah, cedera luka apa segala.

Tak ada, bersih, bersih. Allah. Allah. Allah.
“Terima kasih wak Hamid“, aku peluk wak Hamid dan dia berlalu pergi selepas pasukan kecemasan hospital turunkan ummi dalam kereta.
“Cik tunggu di luar sekejap ya kami akan buat prosedur“ salah seorang staf hospital datang pada aku.
Tak lama, Nazri/Eg, Cikgu Hana, kakak datang.
Eg mungkin ada dekat-dekat hospital tu lepas balik kerja
Mungkin. Kawan-kawan rapat arwah pun ada, Kak Liza, Kak Ayu, Kak Chik pun ada call
“G( aku panggil nazri ), abang Farid asar jap, apa-apa call.”
Ngam-ngam lepas salam kedua, Eg call
“Bang Farid baik kau datang sini cepat” dengan suara gelabah dia.
Ya, aku dah redha dah since aku rangkul badan umi dekat kereta tadi sebenarnya.
Dah, aku redha.
Innalillahiwainnailaihirojiun
Umi meninggal pada jam 4.46 petang kerana kecederaan ‘cardiac tampo nade due to road traffic incident’
Tulang klavikel dan rusuk patah agak teruk.
Tak ada darah sikit pun keluar dari badan umi, masa mandikan, cuma post mortem tetap dijalan kerana prosedur mengesahkan sebab kematian.
Tiada yang berlaku di atas dunia ini tanpa sebab, semua sudah tertulis di lauh mahfuz
Babah redha umi, dan ujian-ujian sebegini sebenarnya sinonim dengan babah sejak kecil lagi.
In sha allah, babah cuba yang terbaik untuk keluarga kita, besarkan dengan semampunya, baik abang Malik, abang Farouk dan adik Fahri.
3 orang tu matang sebelum usia. Harta dunia akhirat kita sayang.
Babah tak ralat, babah dapat berada di sisi umi sampai umi pergi, dan paling babah bersyukur, babah dapat imamkan umi
Babah dapat bagi dan terima kasih sayang yang tiada berbelah bagi dari umi. Terima kasih sayang. Terima kasih.
Babah halalkan segala-galanya walau umi tak pernah langsung berdosa apatah lagi derhaka dengan babah. Meninggi suara pun tidak, jauh sekali menengking mahupun mengherdik babah. Langsung tidak. Umi, babah menahan sebak ..
Tidak pernah cakap tidak kalau babah mintak apa-apa
Walau babah minta masak nasi goreng pukul 12.30 malam lepas balik kerja, umi tetap gosok mata, umi bangun umi buat. Kuku tangan kaki babah pun umi kerat kan
Sampaikan salam babah pada mak dan bapak sayang
BABAH CINTAKAN UMI KERANA ALLAH
THE REAL WANITA KIRIMAN DARI SYURGA
JAMALIAH BINTI ARIS
12/10/1989 - 14/4/2026
Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan semoga Ahmad serta keluarga terus kuat menghadapi ujian ini.

