Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Nak Elak Pelanggan Sentuh Makanan, Idea Bijak Peniaga Ni Buat Ramai Kagum
Apabila tiba bulan Ramadan, suasananya pasti meriah dan unik kerana bazar Ramadan muncul di hampir setiap sudut bandar dan kampung.
Bazar ini bukan sahaja menjadi tempat untuk membeli juadah berbuka puasa, malah ia turut menawarkan pengalaman budaya dan sosial yang jarang ditemui sepanjang tahun.
Ramai pengunjung datang bukan hanya untuk makanan, tetapi juga untuk menikmati suasana meriah dan hiruk-pikuk penjual serta pembeli yang penuh semangat.
Apabila ingin membeli makanan, pembeli biasanya akan memilih gerai yang bersih dan teratur kerana kebersihan menjadi faktor penting dalam menentukan selera dan kesihatan.
Baru-baru ini, satu hantaran menjadi tular di media sosial memaparkan seorang peniaga yang meletakkan penghadang pada makanan yang dijual bagi memastikan kebersihan terjaga.
Menerusi hantaran @yat_jaafar di Threads, kelihatan pelbagai jenis pencuci mulut seperti kuih tradisional dan puding yang diletakkan atas meja.
Apa yang lebih menarik, wanita itu memperlihatkan penggunaan penghadang pada meja jualannya bagi menjaga kebersihan dan keselamatan kuih-muih yang dijual.
Menurut @yat_jaafar, memandangkan dia menjual makanan berwarna-warni, inisiatif itu dilakukan kerana bimbang sekiranya terdapat kanak-kanak di sekeliling.
Ia bagi mengelakkan makanan diusik atau perkara yang tidak diingini berlaku.
“Kadang yang dewasa pun tak menjamin kebersihan. Dengan rambut berjurai, tunjuk sampai nak sentuh makanan.
“Kita pula serba salah nak tegur, risau pelanggan malu dan kecil hati. Bertutup macam ni lebih selamat dan bersih,” katanya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, terdapat pertanyaan mengenai bagaimana @yat_jaafar membuat penghadang pada mejanya.
Menurut wanita itu, dia menggunakan kepingan acrylic yang dilekatkan dengan penghadang buku.
Ramai juga yang memuji usaha beliau dalam memastikan kebersihan makanan yang dijual.
Terdapat pengguna yang bertanya sama ada makanan masih habis dijual dengan adanya penghadang, kerana mereka turut bercadang untuk melakukan perkara sama.
@yat_jaafar menjelaskan bahawa pelanggannya lebih menyukai cara itu kerana ia kelihatan kemas dan bersih.
