Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Nak Ramadan Yang Lebih Sihat? Kenali Kesihatan Anda

RAMADAN

Nak Ramadan Yang Lebih Sihat? Kenali Kesihatan Anda

Dalam suasana Ramadan yang sedang berlangsung, umat Islam di Malaysia menghayati bulan yang penuh dengan ibadah puasa, muhasabah diri, dan kebersamaan keluarga. Di sebalik penekanan terhadap disiplin rohani dan kawalan diri sepanjang bulan suci ini, pakar kesihatan mengingatkan bahawa kesihatan tubuh badan wajar diberi perhatian yang sama, terutama ketika menjalani tempoh berpuasa yang panjang.

Menurut Dato’ Dr. Malik Mumtaz, Perunding Endokrinologi, Ramadan boleh menjadi peluang bermakna bagi rakyat Malaysia untuk memberi perhatian lebih serius terhadap kesihatan mereka, terutamanya bagi keadaan yang sering berkembang secara senyap tanpa menunjukkan simptom awal.

“Ramadan adalah waktu untuk pembaharuan diri,” katanya. “Namun, kita juga harus memastikan tubuh badan cukup sihat untuk menanggung ibadah puasa. Saya sering melihat pesakit yang bergelut semasa Ramadan disebabkan oleh masalah kesihatan sedia ada yang tidak didiagnosis. Saringan ringkas sebelum atau pada awal bulan puasa dapat membantu individu berpuasa dengan lebih selamat dan yakin.”

Puasa Mungkin Mendedahkan Masalah Kesihatan Tersembunyi

Berpuasa membawa perubahan ketara kepada rutin harian, waktu makan, dan corak tidur. Bagi individu yang sihat, badan mereka lazimnya dapat menyesuaikan diri dengan baik. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang hidup dengan keadaan yang tidak didiagnosis seperti diabetes, hipertensi, atau penyakit buah pinggang peringkat awal, perubahan ini boleh memberi tekanan tambahan kepada badan.

“Ramadan mengubah cara badan memproses tenaga,” jelas Dato’ Dr. Malik. “Waktu puasa yang panjang diikuti dengan pengambilan karbohidrat secara tiba-tiba semasa berbuka (Iftar) kadangkala boleh mendedahkan ketidakseimbangan metabolik yang tersembunyi.”

Simptom seperti keletihan melampau, pening kepala, rasa haus yang keterlaluan, atau kesukaran untuk menumpukan perhatian sering disalah anggapsebagai kesan lapar yang normal. Bagaimanapun, Dr. Malik mengingatkan bahawa tanda-tanda ini berkemungkinan mencerminkan isu kesihatan yang lebih mendalam dan tidak boleh dipandang ringan.

Pemakanan Berhemah: Melangkaui Godaan ‘Bazar’

Bazar Ramadan dan juadah perayaan merupakan sebahagian daripada kemeriahan musim ini, dan menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman tradisional. Walaupun ia membawa kegembiraan dan mengeratkan hubungan sosial, doktor menasihatkan agar orang ramai mengamalkan kesederhanaan dan membuat pilihan yang bijak.

Minuman tinggi gula dan makanan bergoreng boleh menyebabkan turun naik mendadak paras gula dalam darah, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada pankreas dan buah pinggang. Namun, ia bukanlah tentang mengelak terus makanan perayaan, tetapi lebih tentang membuat pilihan yang bijak. Apa yang penting adalah kualiti pilihan makanan, dan bukan kuantiti. Nikmatilah hidangan tersebut secara berpadan-padan.

“Nikmatilah makanan, tetapi amalkan kesederhanaan,” katanya. “Tabiat mudah seperti minum lebih banyak air kosong, mengawal saiz hidangan, dan tidak meninggalkan Sahur boleh membawa perbezaan yang besar.”

Beliau menambah bahawa Sahur harus mengandungi karbohidrat kompleks dan makanan yang kaya dengan serat untuk membantu mengekalkan tahap tenaga sepanjang hari.

Kekal Aktif Tetap Penting Semasa Ramadan

Satu tanggapan salah yang biasa adalah aktiviti fizikal perlu dihentikan semasa Ramadan untuk “menjimatkan tenaga.” Sebaliknya, pergerakan ringan hingga sederhana adalah penting untuk memastikan metabolisme kekal aktif.

“Pergerakan fizikal semasa solat Terawih sudah pun menyediakan senaman ringan yang menyokong pencernaan dan mobiliti sendi,” kata Dr. Malik. “Melakukan aktiviti berjalan santai selepas berbuka puasa dapat membantu badan menguruskan paras gula darah dengan lebih baik.”

Aktiviti sedemikian, katanya, melengkapkan aspek kerohanian Ramadan sambil menyokong kesejahteraan keseluruhan.

Persediaan Raya Termasuk Menyiapkan Kesihatan Anda

Dengan musim perayaan Hari Raya yang bakal menjelang, Dato’ Dr. Malik menggesa rakyat Malaysia supaya memasukkan saringan kesihatan dalam persiapan perayaan mereka. Sebagaimana kita menyediakan rumah dan pakaian untuk sambutan tersebut, kita juga mesti menyediakan kesihatan kita.

“Menunggu simptom muncul adalah satu tindakan yang berbahaya. Menjelang waktu anda merasa 'sakit', kerosakan mungkin sudah pun berada di peringkat lanjutan,” amaran Dato’ Dr. Malik. “Saringan pantas di farmasi komuniti atau klinik berdekatan untuk memeriksa HbA1c, tekanan darah, dan fungsi buah pinggang adalah tindakan penjagaan diri yang paling bertanggungjawab yang boleh anda lakukan bulan ini. Jika anda sudah menghidap diabetes, berbincanglah dengan doktor anda untuk memastikan anda boleh berpuasa dengan selamat. Walaupun puasa adalah kewajipan agama, terdapat kategori individu yang tidak seharusnya berpuasa kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Ini termasuk mereka yang mempunyai gangguan fungsi buah pinggang, mereka yang memerlukan suntikan insulin berkali-kali, serta wanita hamil.”

Saringan ini selaras dengan misi Kementerian Kesihatan untuk menangani krisis Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Malaysia, di mana sebahagian besar populasi masih tidak menyedari status penyakit kronik mereka.

Ramadan yang Lebih Sihat, Hari Ini dan Selamanya

Pada akhirnya, Ramadan adalah tentang disiplin dan pemeliharaan nyawa. Dengan mengimbangi matlamat kerohanian dengan pandangan jauh dari sudut perubatan, rakyat Malaysia dapat memastikan mereka meraikan Aidilfitri dalam keadaan sihat yang sebenar.

“Kesihatan adalah satu amanah yang diberikan kepada kita. Dengan melakukan saringan awal dan makan secara berhemah, kita bukan sekadar menyempurnakan ibadah puasa; kita memastikan kita cukup sihat untuk menikmati lebih banyak lagi Ramadan bersama keluarga tersayang,” akhir Dato’ Dr. Malik.