Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Noskova Bangkit Selepas Hampir Lepaskan Gelaran, Juara Wimbledon Wanita Buat Kali Pertama

NOSKOVA
Kredit: AFP

Noskova Bangkit Selepas Hampir Lepaskan Gelaran, Juara Wimbledon Wanita Buat Kali Pertama

Pemain muda Republik Czech, Linda Noskova muncul juara perseorangan wanita Wimbledon 2026 selepas bangkit daripada detik mendebarkan untuk menewaskan rakan senegaranya, Karolina Muchova dalam aksi final yang penuh dramatik, lapor BBC.

Noskova, 21, menamatkan perlawanan dengan kemenangan 6-2, 5-7, 6-3 sekali gus merangkul gelaran Grand Slam sulung dalam kariernya.

Beliau sebelum itu dilihat berada di landasan mudah untuk menjulang trofi selepas mendahului 6-2, 5-2 serta memiliki lima mata kejuaraan.

Namun, tekanan di penghujung perlawanan menyaksikan Muchova bangkit memenangi lima permainan berturut-turut untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Bagaimanapun, Noskova berjaya mengembalikan fokus sebelum menamatkan saingan dengan satu servis kemenangan bagi memastikan gelaran Wimbledon menjadi miliknya.

“Perasaan ini sangat luar biasa. Dari segi fizikal dan mental, ia amat mencabar. Mendapatkan mata terakhir bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Muchova yang disifatkan telah memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Awak benar-benar menyukarkan saya. Saya gembira dapat beraksi dalam final Grand Slam pertama bersama awak dan saya rasa kita telah mencipta sejarah hari ini,” ujarnya.

Kejayaan tersebut turut disifatkan cukup bermakna buat Noskova apabila beliau mengenang arwah ibunya, Ivana, yang meninggal dunia sehari sebelum Wimbledon berlangsung dua tahun lalu.

Dalam ucapan selepas perlawanan, Noskova mengucapkan terima kasih kepada bapanya serta ahli keluarganya yang hadir memberi sokongan sebelum menahan sebak ketika menyebut nama arwah ibunya.

“Saya ingin berterima kasih kepada ayah saya kerana datang ke sini. Terima kasih juga kepada keluarga saya yang sanggup menaiki kapal terbang walaupun saya tahu mereka tidak begitu menyukainya.

“Ada seorang lagi yang ingin saya ucapkan terima kasih, iaitu ibu saya. Saya tidak mungkin berada di sini tanpa beliau,” katanya sambil menitiskan air mata sebelum menghadiahkan ciuman ke arah langit, menerima tepukan gemuruh penonton di Centre Court.

Menurut BBC, final itu merupakan pertemuan pertama membabitkan dua pemain Republik Czech dalam sejarah Wimbledon.

Kemenangan tersebut turut menyaksikan Noskova muncul pemain Republik Czech ketiga menjuarai Wimbledon dalam tempoh empat tahun selepas Marketa Vondrousova dan Barbora Krejcikova.

Selain menjulang trofi Venus Rosewater Dish, Noskova membawa pulang hadiah wang tunai bernilai £3.6 juta (kira-kira RM20.7 juta) serta bakal melonjak ke ranking ketujuh dunia, pencapaian tertinggi dalam kariernya setakat ini.

Sementara itu, Muchova mengakui kecewa gagal mempertahankan kebangkitan dramatiknya, namun tetap memberikan penghormatan kepada lawannya.

“Sukar untuk saya mencari kata-kata, tetapi tahniah kepada Linda. Cara awak mengendalikan tekanan dan bermain hari ini memang luar biasa. Awak benar-benar layak bergelar juara,” katanya.

Sumber:BBC Sport