Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hidupan laut yang sering dirujuk sebagai obor-obor, iaitu spesies Physalia physalis atau Portuguese man o’ war telah dikesan di perairan Mersing, Johor baru-baru ini
Pejabat Perikanan Negeri Johor menerusi satu kiriman di Facebook berkata ia mungkin hanyut dibawa arus deras pada musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur.
Menurutnya, obor-obor merbahaya itu memiliki sengatan yang berbisa dan juga boleh membawa maut.
"Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit yang melampau jika terkena pada badan.
"Haiwan ini biasanya dijumpai di Lautan Pasifik. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini ia turut dikesan di perairan Thailand, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah," katanya.

Tambahnya lagi, tiada antivenom untuk bisa yang disebabkan oleh sengatan obor-obor itu. Tetapi, rawatan adalah dalam bentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom.
"Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) meminta orang ramai berhati-hati dengan kehadiran obor-obor di pesisir pantai dan laut.
"Jangan sentuh dan berenang di kawasan yang terdapat spesies obor-obor ini. Jika terkena sengatan obor-obor ini, orang ramai dinasihati supaya bergegas ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan secepat yang mungkin," katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan untuk memaklumkan kepada Jabatan Perikanan Malaysia melalui Pejabat Perikanan Daerah yang terdekat jika menjumpai obor-obor itu supaya hebahan dan larangan dapat dibuat dengan segera.
"Orang ramai khasnya pengunjung pantai peranginan disaran agar menyalurkan maklumat-maklumat jika menjumpai spesies ini di kawasan tersebut secara terus kepada pihak Jabatan Perikanan ataupun boleh telefon atau SMS hotline FISHCOM di talian 03-8880 5019 serta melaporkan kepada Pejabat Perikanan Daerah yang berhampiran bagi tindakan susulan," ujarnya lagi.