
Ong Yew Sin Sah Bergelar Suami Kepada Aya Ohori
Bagai pinang dibelah dua, itulah ungkapan yang sesuai menggamparkan pasangan serasi, pemain badminton beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin selepas sah bergelar suami kepada bekas perseorangan badminton kebangsaan Jepun, Aya Ohori.
Meskipun perbezaan kewarganegaraan, budaya dan kehidupan, namun ia tidak menghalang pasangan itu berkongsi kehidupan di bawah satu payung yang sama.
Menerusi muat naik laman Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Negeri Melaka, memaparkan upacara perkahwinan merpati dua sejoli itu berjalan dengan lancar.
“Pada hari ini (semalam) JPN Negeri Melaka telah berbesar hati menyatukan cinta pemain badminton handalan Negara, En. Ong Yew Sin bersama pasangannya juga pemain badminton dari Negara Jepun, Pn. Aya Ohori bertempat di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, JPN Negeri Melaka.
“Upacara perkahwinan sivil tersebut telah dilakukan oleh Penolong Pegawai Pendaftaran, Puan Nur Fatehah binti Razali di mana pasangan tersebut telah mengangkat ikrar perkahwinan di hadapan beliau dan disaksikan oleh wakil keluarga masing-masing.
“Tahniah diucapkan dari kami dan semoga perkahwinan cinta dari dua budaya ini berkekalan selamanya,” tulis kenyataan itu.
Sementara itu, peminat badminton tempatan termasuk dunia turut tumpang gembura meraikan Raja Sehari itu dan mendoakan kebahagiaan mereka.
Untuk makluman, Yew Sin, 30, merupakan gandingan Teo Ee Yi, di mana mereka memenangi pingat perak Kejohanan Badminton Asia pada 2023 dan pingat gangsa Kejohanan Dunia pada 2021.
Manakala Ohori, 28, mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton pada penghujung tahun lalu, di mana dia ketika itu sedang menduduki ranking ketujuh dunia.
Sumber: JPN Negeri Melaka, Stadium Astro