XIZANG, 29 Ogos (Bernama-CMG) -- Pihak berkuasa China mengaktifkan tindak balas kecemasan tahap dua di sekitar pintu sempadan Jilong yang bersempadan dengan Nepal susulan kejadian tanah runtuh pada Rabu.
Pasukan tentera, Pasukan Gerakan Am (PGA), jabatan pemeriksaan sempadan dan pasukan bomba telah mengerahkan anggota masing-masing ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Jurucakap Kementerian Luar China (MFA) Lin Jian berkata demikian pada sidang media Khamis.
Tanah runtuh yang berlaku di Nepal pada Rabu turut mengakibatkan kematian, kecederaan dan kehilangan ramai individu di pintu sempadan Jilong, bandar Shigatse di wilayah Xizang, China.
Berdasarkan maklumat pihak berkuasa tempatan, seramai 260 warga asing dilaporkan hilang di kawasan bencana.
China memaklumkan penduduk tempatan dan warga asing diberikan layanan sama rata dalam operasi SAR, selain terus berhubung dengan kedutaan negara berkaitan serta berkongsi perkembangan terkini mengenai situasi berkenaan.
Pada masa sama, China turut mengekalkan komunikasi rapat dengan pihak Nepal dan menyelaras kerjasama bagi memastikan operasi SAR berjalan lancar, selain bersedia menyalurkan bantuan kecemasan mengikut keperluan Nepal.

