Seorang lelaki orang asli dilaporkan cedera akibat diserang binatang buas dipercayai beruang dalam satu kejadian yang berlaku di Kampung Kelatap, Pos Perwor di Sungai Siput pada Rabu, lapor Sinar Harian.
Merujuk laporan tersebut, mangsa yang juga seorang remaja berusia 18 tahun itu pada awalnya dikatakan sedang mencari kayu di kawasan berhampiran rumahnya sekitar 3 petang pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin memetik Sinar Harian berkata, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan.
“Laporan diterima berhubung kejadian remaja lelaki diserang binatang buas ketika keluar mencari kayu.
“Mangsa bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti spesies haiwan yang telah menyerangnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Difahamkan, mangsa telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Sungai Siput sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Tambahnya, laporan polis turut dimajukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff juga mengesahkan kepada Sinar Harian bahawa pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu.
“Pihak kami belum dapat mengenal pasti spesies yang menyerang mangsa berikutan mangsa masih lagi menerima rawatan di hospital.
“Kakitangan akan digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan kita menasihatkan penduduk berhampiran supaya lebih berhati-hati dengan tidak masuk ke kawasan semak sendirian,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
