Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Paip Besi Gergasi Tembusi Permukaan Tanah Setinggi 10 Meter

paip gergasi tembusi tanah osaka jepun
Kredit: MBS News

Paip Besi Gergasi Tembusi Permukaan Tanah Setinggi 10 Meter

Jepun - Sebatang paip besi yang ditanam di bawah tanah ditemui terkeluar sehingga kira-kira 10 meter dari permukaan tanah di sebuah tapak pembinaan lebuh raya persekutuan di Kita-ku, Osaka.

Memetik laporan NHK, pihak berkuasa bandar Osaka kini sedang menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.

Setakat ini, tiada kecederaan dilapor berlaku.

Menurut pihak polis, panggilan kecemasan diterima sebelum jam 7 pagi waktu tempatan pada 11 Mac.

Kredit: MBS News

Panggilan tersebut memaklumkan terdapat konkrit yang jatuh dari atas di sebuah tapak pembinaan lebuh raya persekutuan berhampiran Stesen JR Osaka di daerah Kita.

Setibanya di lokasi, pihak polis mendapati sebatang paip besi berdiameter kira-kira 3.5 meter yang sebelum ini ditanam di dalam tanah telah terkeluar kira-kira 10 meter di atas permukaan tanah.

Makluman awal daripada pihak polis memaklumkan bahawa paip tersebut merupakan paip pembentung.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan menjelaskan objek berkenaan merupakan paip pembinaan yang ditanam secara menegak dengan kedalaman kira-kira 30 meter.

Difahamkan, kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan di lokasi berkenaan bagi menanam paip untuk mengumpul air hujan di bawah tanah.

Kerja pembinaan itu berlangsung dari malam 10 Mac hingga pagi 11 Mac.

Kredit: MBS News

Terkini, paip yang terkeluar itu dilapor semakin tenggelam dengan kadar perlahan.

Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat keadaan sebenar dan punca kejadian.

Beberapa jalan serta lebuh raya persekutuan di kawasan berkenaan masih ditutup.

Saksi kejadian paip gergasi tembusi tanah

Seorang lelaki yang bekerja di sebuah syarikat berhampiran lokasi berkata dia terkejut dengan kejadian itu.

“Saya terkejut dan tidak dapat memahami apa yang berlaku di jalan yang saya gunakan setiap hari,” katanya.

Seorang lagi lelaki berusia 50-an yang bekerja di kawasan sama berkata, dia sering melalui lokasi tersebut beberapa kali sehari atas urusan kerja.

“Saya terkejut melihat seperti sebuah tiang muncul di tengah jalan yang biasanya dilalui kereta.

“Situasi ini sukar difahami. Jika ia benar-benar muncul dari dalam tanah, mungkin perkara sama boleh berlaku di tempat lain.

“Saya ingin tahu bagaimana boleh berlaku dan punca kejadian,” katanya.

Sumber:NHK