Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pakai Topi Tutup Muka Semasa Ceramah, Ustaz Kazim Dedah Sedang Ikut Nasihat Doktor

Iqbal Yasir
ustaz kazim pakai topi
Gambar: FB Ustaz Kazim Elias

Pakai Topi Tutup Muka & Tak Dedah Tubuh Semasa Ceramah, Ustaz Kazim Dedah Sedang Ikut Nasihat Doktor

Penceramah bebas terkenal, Dato’ Mohd Kazim Elias menimbulkan tanda tanya orang ramai selepas dilihat memakai topi menutupi hampir keseluruhan wajahnya ketika menyampaikan ceramah semalam.

Merujuk laporan AWANI, bagaimanapun tanda tanya itu terjawab apabila beliau yang turut dikenali sebagai Ustaz Kazim Elias (UKE) mendedahkan dirinya berbuat demikian adalah kerana mengikut nasihat doktor.

Jelas UKE, beliau dinasihatkan oleh pihak doktor untuk tidak mendedahkan anggota badan secara terus terhadap pancaran matahari kerana dirinya kini sedang dalam fasa menjalani rawatan.

“Saya kena pakai macam-macam krim pada seluruh tubuh saya. Jadi mulai mulai malam ini (Isnin) saya harap semua tak terkejut saya pakai macam ini.

“Ia untuk saya menjaga muka dan seluruh tubuh saya buat sementara waktu (berpakaian seperti ini), saya kena jaga betul-betul supaya wajah saya kembali pulih seperti dahulu.

“Kalau perhati betul-betul, wajah saya dalam siaran langsung nampak perbezaan yang ketara antara sekarang dengan beberapa bulan lepas.

“Jadi, dengan izin Allah, saya sedang sedaya upaya mahu kulit saya kembali elok dan tubuh kembali sihat. Ini yang rawatan sedang saya jalani sekarang ini,” jelasnya dalam ceramah itu seperti yang dilapor AWANI.

Difahamkan, UKE berkata demikian ketika dalam sesi ceramah bertajuk ‘Binasanya Yakjuj dan Makjuj’ yang disampaikannya secara langsung menerusi siaran di laman Facebook rasminya pada semalam.

Petikan dari Facebook

“Orang tanya, saya jawab Alhamdulillah saja”

Dalam video ceramah berkenaan, UKE kelihatan memakai topi berceloreng hijau seakan jungle hat tentera dan turut mendakwa sudah beli tiga lagi yang serupa untuk dipakai semasa setiap kali sesi ceramah berlangsung.

Bagaimanapun, sewaktu ditanya oleh salah seorang pengguna Facebook, beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai penyakit yang dialaminya.

“Keadaan kesihatan sekarang saya sekarang ini saya tak boleh jawab di media, saya kena diam sahaja. Kalau orang tanya, saya jawab Alhamdulillah sahaja.

“Tetapi, kalau tengok pada rupa (wajah) saya (ketika ini) memang menakutkan. Sebab itu saya pakai topi macam ini,” katanya lagi.

Sementara itu, penceramah yang berasal dari Perak itu memohon agar orang ramai mendoakan kesihatannya selain tidak untuk terlalu ‘terkejut’ dengan perubahan gaya penampilannya.

Sebelum ini, UKE pernah berkongsikan mengenai beberapa situasi aneh yang dialaminya seperti menderita tidak boleh kencing sebulan, tidak dapat tidur lena, jarum keluar dari perut ketika mandi dan sebagainya.

Sumber: AWANI