Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Panduan Kewangan Pasangan Baru Kahwin: Elak Silap Urus Duit
Perkahwinan menandakan permulaan fasa baharu dalam kehidupan di mana dua individu mula berkongsi impian, tanggungjawab dan masa depan bersama. Namun di sebalik keterujaan membina rumah tangga, aspek kewangan sering menjadi perkara yang kurang diberi perhatian.
Ramai pasangan yang baru berkahwin beranggapan semuanya akan berjalan lancar selagi ada pendapatan. Hakikatnya, pengurusan wang yang tidak terancang boleh perlahan-lahan menjejaskan keharmonian hubungan. Atas sebab itulah panduan kewangan ini penting sebagai langkah awal membina asas rumah tangga yang kukuh dan stabil.
Kali ini kami akan kongsikan kesilapan kewangan yang sering dilakukan oleh pasangan baru kahwin. Kami juga akan sertakan panduan praktikal kewangan untuk membantu anda mengelakkan silap urus duit sejak awal perkahwinan.
Mengurus kewangan bukan sekadar tentang membayar bil atau menyimpan lebihan wang tetapi melibatkan komunikasi terbuka, perancangan bersama dan disiplin dalam setiap keputusan kewangan. Dengan memahami perkara ini lebih awal, anda bukan sahaja dapat melindungi kewangan keluarga malah mampu mencipta kehidupan yang lebih tenang, teratur dan seimbang bersama pasangan.
Antara kesilapan paling besar ialah menganggap topik wang sebagai perkara sensitif yang tidak perlu dibincangkan secara mendalam. Ada pasangan yang hanya mengetahui jumlah gaji pasangan masing-masing.
Namun, mereka tidak mengambil tahu tentang hutang sedia ada, komitmen bulanan, tabiat berbelanja atau matlamat kewangan jangka panjang.
Sikap ini boleh mencetuskan rasa tidak puas hati apabila realiti sebenar mula terbongkar. Perbincangan kewangan yang jujur sejak awal sebenarnya mampu membina kepercayaan, menyelaraskan jangkaan dan membantu pasangan merancang kehidupan dengan lebih realistik.
Selain itu, ramai pasangan menjalani kehidupan berumahtangga tanpa sebarang pelan perbelanjaan yang jelas. Pendapatan masuk, belanja keluar ikut keperluan dan kehendak semasa tanpa mengetahui ke mana wang sebenarnya mengalir.
Tanpa bajet, pasangan sukar untuk mengawal perbelanjaan harian, mudah terjebak dengan pembelian impulsif dan akhirnya terkejut apabila simpanan semakin menyusut.
Bajet bulanan bukan sekadar senarai angka tetapi juga berfungsi sebagai panduan hidup. Ia membantu pasangan membezakan antara keperluan dan kemahuan serta memastikan setiap ringgit digunakan dengan lebih bijak.
Tidak dapat dinafikan, ramai pasangan mahu menikmati kehidupan baru dengan rumah yang cantik, perabot lengkap, percutian mewah dan kelengkapan rumah terbaik. Namun apabila semua ini dilakukan serentak tanpa mengambil kira kemampuan sebenar, ia sering membawa kepada hutang berlebihan.
Kad kredit, pembiayaan perabot dan pinjaman peribadi sering menjadi jalan mudah untuk memenuhi kehendak jangka pendek. Namun, ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan kewangan.
Hakikatnya, kebahagiaan rumah tangga tidak bergantung kepada gaya hidup mewah tetapi pada ketenangan kewangan yang dibina secara berperingkat.
Ramai pasangan baru berkahwin beranggapan simpanan boleh dibuat kemudian. Sebenarnya, kehidupan penuh dengan perkara tidak dijangka seperti kehilangan pekerjaan, kecemasan kesihatan atau kerosakan besar di rumah.
Tanpa dana kecemasan, pasangan terpaksa bergantung kepada hutang apabila berdepan situasi ini. Dana kecemasan yang ideal biasanya bersamaan tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan dan ia berfungsi sebagai benteng kewangan yang memberi ketenangan apabila musibah melanda.
Di samping itu juga, dalam kesibukan mengurus kehidupan baru, aspek perlindungan sering diketepikan. Ramai pasangan merasakan mereka masih muda dan sihat lalu menangguhkan pengambilan takaful atau insurans. Sedangkan risiko kemalangan atau penyakit boleh berlaku pada bila-bila masa.
Perlindungan awal bukan sahaja lebih murah malah mampu mengelakkan beban kewangan yang besar sekiranya berlaku perkara tidak diingini. Ia juga memberi jaminan bahawa pasangan tidak perlu mengorbankan simpanan atau masa depan anak-anak kelak.
Ada pasangan yang memilih untuk menyatukan semua pendapatan selepas berkahwin namun melakukannya tanpa struktur yang teratur. Siapa yang membayar bil, siapa yang mengurus simpanan dan bagaimana wang diagihkan sering tidak ditetapkan dengan jelas.
Keadaan ini boleh menimbulkan salah faham dan rasa tidak adil, terutama apabila salah seorang merasakan beban kewangan lebih berat di bahunya. Sistem kewangan yang baik perlu disepakati bersama. Ianya sama ada menggunakan akaun bersama, pembahagian tanggungjawab atau gabungan kedua-duanya.
Tanpa hala tuju yang jelas, kewangan rumah tangga bergerak tanpa arah. Pasangan jarang duduk berbincang tentang sasaran seperti membeli rumah, menabung untuk pendidikan anak atau membina pelaburan jangka panjang.
Akibatnya, wang habis untuk perbelanjaan semasa tanpa sebarang persediaan masa depan. Matlamat kewangan bersama bukan sahaja membantu pasangan lebih fokus malah menjadi motivasi untuk berjimat, menyimpan dan membina kehidupan yang lebih stabil.
Walaupun rezeki sememangnya ditentukan Tuhan, sikap terlalu bergantung pada harapan tanpa perancangan boleh membawa padah. Ramai pasangan menangguhkan simpanan atau pelan kewangan dengan alasan pendapatan akan bertambah pada masa hadapan.
Hakikatnya, tanpa disiplin dan strategi, peningkatan pendapatan sering disertai peningkatan perbelanjaan. Perancangan kewangan yang baik perlu bermula dengan apa yang ada hari ini dan bukannya dengan menunggu keadaan menjadi sempurna.
Oleh itu, perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua hati tetapi juga gabungan dua corak kewangan, dua latar belakang dan dua cara berfikir tentang wang. Pasangan yang berjaya membina kestabilan kewangan bukan semestinya mereka yang berpendapatan tinggi.
Yang lebih penting ialah pasangan yang sanggup berbincang secara terbuka, merancang dengan teliti dan bekerjasama dalam setiap keputusan kewangan.
Dengan mengelakkan kesilapan-kesilapan ini sejak awal, pasangan baru berkahwin dapat membina asas rumah tangga yang lebih kukuh, tenang dan seimbang. Panduan kewangan ini bukan sahaja membantu dari segi emosi, tetapi juga dari sudut pengurusan kewangan keluarga.