Setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk berkomunikasi dan menguruskan urusan harian bersama.
Namun, perkongsian seorang pengguna Threads amthts baru-baru ini mencuri perhatian apabila dia dan suaminya mempunyai beberapa kumpulan perbualan berasingan mengikut topik tertentu.
Menurut wanita itu, mereka mempunyai kumpulan khas bagi membincangkan urusan kewangan, hal rumah, perkembangan anak perempuan, perancangan perjalanan dan juga kesihatan.
“Suami saya dan saya memang terlebih teratur. HAHA.
“Kami mempunyai kumpulan perbualan berbeza untuk jenis perbualan yang berbeza. Satu untuk kewangan, satu untuk urusan rumah, satu untuk perkembangan anak perempuan kami, satu untuk perjalanan, satu lagi untuk kesihatan dan senarainya berterusan,” kongsinya.
Ada pasangan sampai 16 kumpulan berbeza
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian itu ternyata mendapat perhatian ramai yang mengakui mereka turut mengamalkan cara sama.
Seorang pengguna berkata, dia dan pasangannya mempunyai sehingga 16 kumpulan perbualan yang diasingkan mengikut urusan masing-masing.
“Kami berdua ada 16 kumpulan berbeza. Antaranya ‘barang dapur’, ‘kereta A’, ‘kereta B’, ‘percutian singkat’, ‘MyTax/LHDN’, ‘hal rumah A’, ‘hal ehwal rumah B’, ‘barangan yang dipesan’, ‘bil bulanan’ dan macam-macam lagi.
“Sebab perbualan harian kami kadang-kadang terlalu panjang dan susah untuk mencari semula maklumat penting. Jadi, biasanya kami asingkan semuanya dalam kumpulan berbeza,” katanya.

Seorang lagi pengguna pula berkata, dia menggunakan pelayan Discord untuk menguruskan pelbagai perkara sejak sebelum berkahwin.
Menurutnya, cara itu diteruskan selepas mempunyai keluarga kerana setiap ruang perbualan mempunyai fungsi tersendiri dan membantu mereka menguruskan perkara dengan lebih sistematik.
“Haha, sama! Saya menggunakan pelayan Discord untuk diri sendiri sebelum berkahwin dan sehingga sekarang.
“Sekarang saya sudah mempunyai keluarga kecil sendiri, jadi senarainya semakin bertambah. Saya dan suami memang jenis yang sangat teliti, jadi kami perlukan lebih banyak perkara untuk ditambah dalam setiap saluran.
“Saya juga menukar nama pelayan itu. Setiap saluran mempunyai tujuan tersendiri dan kita boleh menyusun semuanya dengan lebih sistematik,” ujarnya.

