Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

TPM Zahid Seru Rakyat Teliti Fakta, Jangan Terburu-Buru Buat Kesimpulan

FAKTA
Kredit: Facebook Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru masyarakat agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan terhadap sesuatu isu besar, sebaliknya meneliti fakta dan mendengar pandangan daripada pelbagai sudut terlebih dahulu.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan itu selari dengan semangat yang ingin dibina menerusi Musyawarah Nasional sebagai ruang untuk membincangkan isu secara matang dan berfakta.

“Saya mengikuti dengan penuh teliti keseluruhan perbincangan yang berlangsung sebentar tadi termasuk pandangan daripada ahli-ahli panel serta persoalan dan pandangan yang dikemukakan oleh para hadirin.

“Inilah sebenarnya semangat yang mahu kita bina melalui Musyawarah Nasional,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurutnya, apabila berdepan sesuatu isu yang besar dan menyentuh kepentingan ramai, masyarakat tidak seharusnya terlalu cepat membentuk pendirian hanya berdasarkan perkara yang didengar atau persepsi yang terbentuk.

Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak perlu duduk semeja, mendengar pandangan, meneliti fakta serta memahami sesuatu perkara daripada setiap sudut sebelum membuat sebarang kesimpulan.

“Kita mungkin tidak sentiasa mempunyai pandangan yang sama, tetapi perbezaan tidak seharusnya menghalang kita daripada berbicara secara matang dan mencari titik kefahaman,” ujarnya.

Jelasnya, pendekatan itu amat penting, khususnya apabila sesuatu isu melibatkan institusi yang dekat dengan umat Islam serta memikul amanah dan kepercayaan jutaan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh urus setia, ahli panel dan semua pihak yang hadir serta mengambil bahagian dalam menjayakan Musyawarah Nasional 2.0.

Beliau berkata, program itu diharap dapat terus menjadi ruang yang menyuburkan budaya perbincangan secara matang dan berpaksikan fakta.

“Semoga Musyawarah Nasional terus menjadi ruang yang menyuburkan budaya perbincangan secara matang dan berfakta. Insya-Allah,” katanya.

Intipati
  • Ahmad Zahid menyeru masyarakat meneliti fakta sebelum membuat kesimpulan terhadap isu besar.
  • Beliau berkata Musyawarah Nasional selari dengan budaya perbincangan matang dan berfakta.
  • Zahid menghargai urus setia, panel dan peserta yang menjayakan Musyawarah Nasional 2.0.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan