Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelakon Eman Manan Kini Bergelar Datuk, Dianugerahkan Dato' Paduka Mahkota Terengganu

eman manan
Kredit: Bernama

Pelakon terkenal tanah air, Eman Manan menerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T.) bersempena Ulang Tahun Ke-64 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

Pengurniaan Darjah Kebesaran itu diperkenan Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada Istiadat Penghadapan dan Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu di Istana Syarqiyyah, Chendering, hari ini.

Seniman berusia 68 tahun itu antara figura yang cukup disegani dalam industri seni tanah air.

Eman Manan Kini Bergelar Datuk

Penganugerahan tersebut disifatkan cukup signifikan dengan sumbangan dalam industri hiburan tempatan serta keperibadian Eman Manan yang disegani ramai.

Datuk Eman kelihatan segak menyarung busana tradisional baju Melayu berwarna hitam saat dikurniai pingat tersebut.

Untuk makluman, sepanjang lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni, Eman telah membintangi ratusan karya merangkumi drama, telefilem dan filem, sekali gus menjadikan namanya antara pelakon berpengalaman dan disegani dalam industri hiburan tanah air.

Perjalanan seninya bermula pada 1984 menerusi filem Matinya Seorang Patriot arahan Dato’ Haji Rahim Razali ketika beliau berusia 26 tahun.

Kerjasama bersama pengarah berkenaan kemudian diteruskan menerusi dua lagi filem iaitu Tsu Feh Sofiah pada 1986 dan Puteri pada 1987.

Bakat lakonannya turut menerima pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 menerusi filem Buai Laju-Laju arahan U-Wei Hj Saari.

Selain itu, Eman pernah meraih anugerah Pelakon TV Lelaki Terbaik (Telefilem) pada Anugerah Seri Angkasa 2022 menerusi lakonannya dalam Satu Kampung Dua Orang.

Tidak terhenti di situ, beliau turut membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur (MPFKL2024) menerusi filem Takluk: Lahad Datu.

Terbaharu, Eman diumumkan sebagai antara barisan pelakon yang bakal membintangi filem Langit 2 Warna arahan Erma Fatima.

Selain Eman, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Reza Rahadian, Ummi Nazeera, Christine Hakim, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Umie Aida, Hazwani Helmi, Heliza Helmi dan Zizi Kirana.

Intipati
  • Eman Manan menerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu, membawa gelaran Datuk.
  • Pengurniaan itu berlangsung di Istana Syarqiyyah bersempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu ke-64.
  • Eman aktif sejak 1984 dan pernah memenangi beberapa anugerah lakonan utama.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan