Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelakon Suara ‘One Piece’ Dan ‘Dragon Ball Z’, Mike McFarland Meninggal Dunia Pada Usia 56 Tahun

Mike McFarland
Kredit: Variety

Pelakon suara veteran yang terlibat dalam versi alih suara bahasa Inggeris bagi siri anime popular seperti One Piece dan Dragon Ball Z, Mike McFarland, meninggal dunia pada Rabu selepas bertarung dengan kanser otak pada usia 56 tahun, lapor Variety.

McFarland merupakan antara pelakon suara berpengalaman dalam dunia anime.

Mike McFarland meninggal dunia

Beliau mula membawa watak Master Roshi dan Yajirobe dalam Dragon Ball serta Dragon Ball Z, selain watak Buggy the Clown dalam One Piece.

Antara watak lain yang pernah disuarakannya termasuk Jean Kirstein dalam Attack on Titan, Jean Havoc dalam Fullmetal Alchemist dan Teppei Sugo dalam Psycho-Pass.

“Mike memberikan begitu banyak kepada kami yang mengenalinya serta peminat anime yang mengenali hasil kerjanya,” kata platform penstriman anime, Crunchyroll, dalam satu kenyataan.

Menurut Crunchyroll, McFarland merupakan seorang yang sangat berbakat dan sahabat baik kepada ramai pihak dalam industri, selain akan amat dirindui.

Memulakan kerjaya pada 1997, McFarland merupakan antara pelakon suara pertama di Texas yang diambil bekerja oleh Funimation Entertainment.

Beliau kemudiannya menjadi antara figura penting dalam dunia anime dan turut terlibat sebagai penerbit barisan, pengarah ADR serta penyesuai skrip ADR bagi pelbagai filem dan siri alih suara terbitan Funimation dan Crunchyroll.

Antara karya lain yang pernah melibatkan McFarland termasuk Heaven’s Lost Property sebagai Sky Master, Lupin III: The Woman Called Fujiko Mine sebagai Goemon Ishikawa serta Case Closed sebagai George.

Dalam karya-karya terbaharunya, McFarland menyumbangkan suara bagi watak Hiroshi Odokawa dalam Odd Taxi, Big Bad Wolf dalam Date A Live IV dan E.G. Mine dalam Trigun Stampede.

McFarland mula berdepan masalah kesihatan pada Januari 2025 selepas terpaksa menarik diri daripada menyertai Central Florida Comic Con susulan dikesan mempunyai ketumbuhan pada otak.

Rakan seperjuangannya dalam industri, J. Michael Tatum dan Brandon McInnis, kemudiannya melancarkan kempen GoFundMe bagi membantu McFarland mendapatkan dana untuk mengupah pembantu perubatan yang boleh menetap bersamanya.

Selepas menjalani beberapa pembedahan, ketumbuhan tersebut akhirnya disahkan sebagai glioblastoma, iaitu sejenis kanser otak yang agresif.

Pemergian McFarland meninggalkan kesan kepada peminat anime, khususnya mereka yang membesar dengan watak-watak yang pernah disuarakannya sepanjang hampir tiga dekad dalam industri berkenaan.

Sumber:Variety
Intipati
  • Mike McFarland meninggal dunia pada Rabu selepas bertarung dengan kanser otak.
  • Beliau terkenal menyuarakan Master Roshi, Yajirobe dan Buggy the Clown dalam anime popular.
  • McFarland turut bekerja sebagai penerbit barisan, pengarah ADR dan penyesuai skrip ADR.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan