Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pemandu Monorel Wanita Buktikan Stigma Jantina Bukan Penghalang Dalam Bidang Teknikal

Pemandu Monorel Wanita

Pemandu Monorel Wanita Buktikan Stigma Jantina Bukan Penghalang Dalam Bidang Teknikal

Bagi sesetengah orang menganggap, golongan wanita tidak perlu bekerja keras dalam bidang-bidang tertentu seperti bergelar pemandu. Namun ia tidak menggambarkan perjalanan hidup Farah Umira Abdul Halim.

Dibesarkan dengan kehidupan yang biasa, Farah tidak pernah menyangka bahawa takdir hidupnya akan berubah sepenuhnya di atas landasan rel udara ibu kota.

Siapa sangka, wanita yang dahulunya hanya sibuk menguruskan fail sebagai staf pentadbiran (admin) biasa, kini tegak berdiri sebagai antara wajah penting di sebalik sistem pengangkutan awam Kuala Lumpur.

Kisah Farah bukan sekadar tentang mengejar kerjaya, tetapi tentang bagaimana keberanian untuk mencuba sesuatu yang di luar zon selesa. Ia termasuk mampu meruntuhkan stereotaip jantina dan mengubah takdir hidup seseorang.

Tersalah Mohon Itulah 'Tuah' Tak Disangka

“Saya sebenarnya dahulu bekerja sebagai admin biasa sahaja. Satu hari, saya cuba memohon jawatan di bahagian grafik di KL. Dalam banyak-banyak jawatan yang dipaparkan, ada terselit station officer dan transit officer. Jadi, tanpa sengaja saya pun memohon,” cerita Farah memulakan bicara.

Rezeki yang tak disangka apabila dia dipanggil untuk sesi temu duga. Menariknya, Farah langsung tidak tahu skop tugas sebenar posisi tersebut.

Bagi seorang wanita yang biasa bekerja di dalam pejabat, dia menyangka perkataan 'officer' itu merujuk kepada kerja kerani biasa.

“Semasa interview, saya dapat rasa persaingan sangat hebat. Ramai calon yang jauh lebih hebat daripada saya. Jujurnya, saya memang tak yakin dengan diri sendiri dan memandu monorel ini bukanlah cita-cita saya sejak kecil,” katanya lagi.

Bermula Dari Kosong & Cabaran 'Ilmu Lelaki'

Melangkah masuk ke fasa latihan, Farah berhadapan dengan tembok besar. Bidang teknikal rel merupakan satu dunia yang asing dan sekian lama didominasi oleh kaum lelaki. Sebagai seorang wanita, dia mengakui aspek mekanikal amat berat untuk dihadam.

“Macam orang perempuan, kita bawa kereta, kita tahu bawa sahaja. Kalau kereta rosak atau ada masalah, kita serahkan pada mekanik. Tapi dalam kerjaya ini, mentaliti begitu tidak boleh pakai. Sifar ilmu teknikal memang membuatkan saya terduduk,” luah Farah.

Sepanjang tempoh pembelajaran, Farah tidak lari daripada kegagalan. Isu teknikal yang bertali-arus hampir membuatkannya berputus asa.

“Banyak kali saya rasa nak quit (berhenti kerja). Tapi bila saya fikir balik, di luar sana ramai lagi orang yang berebut-rebut mahukan jawatan ini. Jadi, saya nekad untuk cabar diri lagi.” katanya.

Salah satu memori yang paling diingatnya adalah kali pertama memandu monorel pada waktu malam. Kerana kedudukan monorel yang tergantung tinggi di udara, perasaan takut menguasai diri.

“Suasana malam itu agak huru-hara. Pengajar saya seorang lelaki. Saya nak tolak panel kawalan pun takut sebab kita berada tinggi di atas. Akhirnya, pengajar saya mengambil plastik, membalut tangan saya, dan memegang tangan saya menggunakan plastik itu untuk sama-sama menolak panel kawalan. Itulah pengalaman pertama saya yang sangat berharga,” kongsinya sambil tersenyum.

Pengorbanan Di Sebalik Syif

Bagi melayakkan diri memandu secara solo di laluan utama (main line), setiap pemandu baharu wajib melengkapkan latihan memandu selama 100 jam. Selepas berjaya melepasi fasa tersebut, cabaran sebenar pun bermula.

Menetap di Rawang, rutin harian Farah memerlukan disiplin yang sangat tinggi. Bagi syif pagi, seawal jam 3:00 pagi dia sudah perlu bangun menguruskan diri sebelum keluar rumah untuk mendaftar masuk (punch in) tepat jam 4:30 pagi. Bagi syif petang pula, tugasnya bermula jam 2:30 petang sehinggalah jam 12:30 tengah malam.

Namun, cabaran paling besar buat Farah bukan pada fizikal, melainkan masa bersama keluarga yang sangat terhad.

“Masa dengan anak dan suami amat terhad. Cuti raya kami berselang-seling setahun sekali atau dua tahun sekali. Apabila saya terpaksa bertugas pada hari raya, suami dan anak terpaksa duduk di rumah menunggu saya pulang barulah kami dapat beraya dekat-dekat. Nak balik kampung memang tiada harapan. Kalau seminggu suami cuti, memang dia berdua sahaja dengan anak di rumah,” katanya.

Ujian Emosi di Bulan Ramadan

Mengendalikan pengangkutan awam yang membawa beribu-ribu penumpang setiap hari menuntut ketenangan emosi yang tinggi, terutamanya apabila berlaku kecemasan teknikal secara tiba-tiba yang boleh mencetuskan panik.

Antara momen yang paling menguji ketahanan mental Farah adalah insiden di bulan Ramadan.

“Masa itu waktu berbuka puasa dan kami ada tugasan penggambaran khas. Tiba-tiba berlaku gangguan teknikal yang kritikal. Disebabkan perlu menyelesaikan isu tersebut demi keselamatan penumpang, saya tidak dapat berbuka puasa sehinggalah pukul 10:00 malam. Seteguk air pun tidak sempat. Itulah dugaan yang paling saya ingat sampai bila-bila.”

Lapan Tahun Layan 'View' Kuala Lumpur

Meskipun sistem Monorel Kuala Lumpur dikendalikan secara manual, di mana kawalan kelajuan dan membrek sepenuhnya di atas bahu pemandu. Farah mengakui dia tidak pernah berasa bosan walaupun sudah 8 tahun berkhidmat.

Sisi indah pekerjaannya adalah apabila dia dapat melihat keindahan kota Kuala Lumpur dari sudut pandang yang berbeza.

“Saya sangat suka melihat pemandangan Kuala Lumpur, terutamanya pada waktu malam dan hari pelepasan am (public holiday). Benda itu buat saya gembira. Malah saya ada stesen kegemaran, iaitu Hang Tuah dan Bukit Bintang.”

“Contohnya hari Sabtu, bila saya memandu dari KL Sentral ke Hang Tuah, saya dapat tengok ramai penumpang yang memakai kostum pelbagai watak (event cosplay) naik tren. Bila tengok ragam unik manusia dan dalam masa yang sama tahu saya telah hantar beribu penumpang dengan selamat ke destinasi, ada satu kepuasan yang luar biasa dalam hati saya,” kongsinya dengan nada bangga.

Kerja Lelaki, Perempuan Pun Boleh Buat

Menutup bicara, Farah menitipkan pesanan mendalam buat seluruh wanita di luar sana agar tidak mudah mengalah dengan stigma masyarakat terhadap kemampuan wanita dalam bidang teknikal.

“Memang orang kata kerja perempuan ini biasa-biasa sahaja, tak boleh buat kerja berat macam lelaki. Tapi bagi saya, kerja lelaki semua perempuan boleh buat. Cuma nak atau tak nak sahaja. Kita kena kuatkan diri, kena ada usaha, semangat, dan paling penting sokongan keluarga serta rakan-rakan.”

"Selagi kita tak buat, kita takkan tahu di mana sempadan kegagalan kita. Dan bila kita tak gagal, kita takkan tahu di mana kita nak cari ilmu itu," katanya.