Pengurus salah satu kelab bola sepak Mesir, El Magd dilaporkan meninggal dunia sejurus selepas pasukan kendaliannya menjaringkan gol kemenangan 1-0 dalam saingan Liga Mesir Kedua baru-baru ini.
Kegembiraan pasukan El Magd meraikan kemenangan menentang kelab El Zarqa Khamis lalu bertukar sugul apabila pengurus dan juga bekas jurulatih, Adham El-Selhadar mengalami serangan jantung semasa meraikan gol tunggal yang dijaringkan pasukannya pada minit ke-92.
Menurut laporan Daily Mail, El-Selhadar dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada usianya yang ke 53 tahun. Setelah pemergian El-Selhadar diumumkan, dua nama besar kelab bola sepak Mesir yang pernah dilatih beliau, Ismaily FC dan Al-Ahly turut memberi penghormatan terakhir kepada beliau.
Sebagai tanda belasungkawa, kelab bola sepak El Magd turut membatalkan perlawanan menentang Pioneers FC untuk mengenang pemergian pengurus pasukan mereka. . Sementara itu, Ismaily FC mengumumkan tiga hari tempoh berkabung atas kehilangan bekas bintang bola sepak yang pernah bersinar dalam pasukan mereka sekitar tahun 1990-an.
El-Selhadar pernah bermain untuk kelab bola sepak Ismaily FC dan turut sama-sama menjulang piala Liga Premier Mesir dan Piala Mesir dengan kelab tersebut. El-Selhadar kemudian kembali ke arena bola sepak Mesir sebagai pengurus kelab dan merupakan salah seorang jurulatih yang disegani di negara Timur Tengah itu.
Sumber: Daily Mail
