Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Penyanyi, Pelakon Ireland Glen Hansard Maut Dalam Kemalangan Motosikal

HANSARD
Kredit: AFP

Penyanyi, Pelakon Ireland Glen Hansard Maut Dalam Kemalangan Motosikal

Penyanyi dan penulis lagu terkenal Ireland, Glen Hansard, dilaporkan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di pinggir Dublin, awal pagi Rabu.

Beliau berusia 56 tahun.

Menurut CNN, pengurusan Hansard mengesahkan pemergiannya dan memaklumkan bahawa ahli keluarganya berada dalam keadaan terkejut serta amat berdukacita dengan kehilangan tersebut.

Polis Ireland berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal di kawasan Lucan, di barat Dublin, kira-kira jam 4.30 pagi waktu tempatan.

Mangsa menerima rawatan di lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti mangsa secara rasmi.

Hansard dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu dan pelakon yang memberi sumbangan besar kepada industri seni Ireland.

Beliau mula mencipta nama menerusi filem The Commitments pada 1991 sebelum meraih pengiktirafan antarabangsa apabila membintangi filem muzikal bebas Once bersama Markéta Irglová.

Menerusi filem itu, Hansard memenangi Anugerah Akademi (Oscar) pada 2008 menerusi lagu Falling Slowly, yang turut menjadi antara karya paling ikonik dalam kerjayanya.

Selain bergerak secara solo, beliau juga merupakan vokalis kumpulan rock The Frames serta anggota duo The Swell Season.

Antara album solonya ialah Didn't He Ramble, yang menerima pencalonan Anugerah Grammy bagi kategori Album Folk Terbaik pada 2016.

Sebelum bergelar artis terkenal, Hansard memulakan kerjayanya sebagai pemuzik jalanan di Dublin.

Beliau turut dikenali kerana menganjurkan persembahan amal pada setiap malam Krismas di luar Gaiety Theatre, yang menghimpunkan ramai pemuzik terkenal Ireland bagi mengumpul dana kebajikan.

Bekas Presiden Ireland, Michael D. Higgins, menyifatkan Hansard sebagai seorang pemuzik dan penghibur yang berbakat serta memiliki keupayaan luar biasa dalam menyampaikan penceritaan menerusi muzik.

Menurut beliau, Hansard juga aktif memperjuangkan isu sosial termasuk memberi perhatian terhadap masalah gelandangan sepanjang hayatnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Ireland, Micheál Martin, berkata beliau amat sedih menerima berita pemergian Hansard.

Katanya, mendiang telah memberikan sumbangan besar kepada landskap seni dan budaya Ireland selama bertahun-tahun.

Hansard meninggalkan isteri, Maire Saaritsa, serta seorang anak lelaki berusia tiga tahun, Christy.

Sumber:CNN
Intipati
  • Glen Hansard dilaporkan meninggal dunia selepas kemalangan motosikal di Lucan, barat Dublin.
  • Polis Ireland mengesahkan seorang lelaki 50-an maut, tetapi belum mendedahkan identiti rasmi mangsa.
  • Hansard dikenali menerusi Once, lagu Falling Slowly, The Frames dan kerja amal Krismas.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan